BIGtheme.net http://bigtheme.net/ecommerce/opencart OpenCart Templates
Home / Highlighted / Ikhwan Zaini, tokoh merintis penubuhan parti Bumiputera

Ikhwan Zaini, tokoh merintis penubuhan parti Bumiputera

Capture
Ikhwan Zaini

KUCHING: “Kita sebagai orang Melayu perlu jadi seperti lidi. Lidi sebatang memang senang untuk dipatahkan tetapi kalau kita kumpul, simpul dan ikat lidi yang banyak itu, ia akan menjadi kuat dan sangat susah untuk kita musnahkannya.” Itu kata-kata semangat yang sering diungkapkan Allahyarham Tan Sri Datuk Amar Abang Ikhwan Abang Zaini kepada masyarakat Melayu dalam usahanya untuk menyatupadukan masyarakat Melayu Sarawak.

Menurut anak lelaki kedua Allahyarham, iaitu Mohd Rakawi Abang Ikhwan, kata-kata semangat ini tidak mungkin dapat dilupakan sepanjang hayatnya yang menunjukkan betapa kuatnya semangat ayahendanya untuk menyatukan orang Melayu. Menyelusuri detik perjuangan Ikhwan Zaini, masa paling terkesan dalam dirinya dan keluarga ialah apabila ayahnya bersama-sama Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang kini Yang di-Pertua Negeri Sarawak berjaya menyatukan Parti Negara Sarawak (PANAS) dan Parti Barisan Rakyat Jati Sarawak (BARJASA) dan seterusnya melahirkan Parti Bumiputera Sarawak.

“Usaha untuk melihat penggabungan antara PANAS dan BARJASA menjadi satu cita-cita murni ayah saya dan beliau sentiasa menyeru melalui penulisannya supaya wujud penyatuan antara kedua-duanya. “Beliau mengingatkan bahawa kewujudan dua parti yang didominasi oleh orang Melayu (PANAS dan BARJASA) adalah satu kesilapan politik yang besar dan merugikan orang Melayu (jika tidak bergabung),” kata Rakawi. Pada mulanya, usaha penyatuan dua parti ini sangat sukar kerana masing-masing masih berdendam dan tidak dapat melupakan peristiwa silam.Namun, selepas Ikhwan Zaini mengambil alih pimpinan PANAS daripada adik Datuk Bandar Abang Mustapha iaitu Datuk Abang Othman, keadaan berubah sama sekali kerana dapat dilihat bahawa beliau amat mementingkan perpaduan orang Melayu. Beliau berkata, sekiranya orang Melayu benar-benar mahu menikmati faedah kemerdekaan, mereka hendaklah bersatu dalam politik.

Atas kesedaran inilah beliau bersama dengan Taib berusaha bersungguh-sungguh untuk menyatukan kedua-dua parti hingga menjadi kenyataan pada 1968. Usaha itu, kata Rakawi, termasuk usaha meyakinkan ahli kedua-dua parti mengenai kebaikan bagi orang Melayu khasnya dan Bumiputera amnya melalui penyatuan itu. “Kedua-dua parti (kemudian) dibubarkan dan akhirnya lahir Parti Bumiputera Sarawak (PBS) pada 19 Disember 1968. “Ayah saya diberi penghormatan dilantik sebagai Presiden PBS yang pertama dengan Tuanku Bujang sebagai Timbalan Presidennya dan Taib sebagai Setiausaha Agung,” katanya.

Parti Bumiputera kemudian bergabung dengan parti Pesaka, menjadikannya sebagai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), yang ada sekarang ini. Ikhwan Zaini menyandang jawatan itu hingga beliau berhenti bergiat dalam parti politik pada 1972. Percantuman antara kedua-dua parti itu disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein dan peristiwa bersejarah ini diadakan di Kampung Gersik.

 

Ikhwan ketika menghadiri upacara angkat sumpah sebagai Pegawai Pentadbiran Negeri Sarawak.
Ikhwan ketika menghadiri upacara angkat sumpah sebagai Pegawai Pentadbiran Negeri Sarawak.

 

Selain kenangan kejayaan Ikhwan Zaini menyatukan dua parti Melayu menjadi sebuah parti yang kuat dan bersatu, Rakawi tidak dapat melupakan saat-saat persengketaan hangat antara pihak Gerakan Anti-Penyerahan yang turut disertai oleh ayahnya dengan pihak pro-Penyerahan. “Pada masa itu, saya masih kecil apabila rumah kami di Kampung Patingan dibaling dengan batu oleh pihak pro-Penyerahan yang rumah mereka terletak bersebelahan dengan kediaman kami. “Begitu hebat persengketaan antara mereka sampaikan mereka tidak boleh bersua muka antara satu sama lain,” kata Rakawi ketika mengimbas kembali peristiwa masa lalu.

Ikhwan Zaini juga, katanya banyak berjuang menerusi penulisan bagi menimbulkan kesedaran kepada masyarakat Melayu Sarawak mengenai pentingnya perpaduan. Melalui Utusan Asas yang kemudiannya digantikan dengan Utusan Sarawak pada 16 Januari 1949, beliau percaya bahawa dengan tulisan dan rencana yang bernas dapat menyedarkan orang Melayu betapa perlunya bersatu padu untuk meneruskan perjuangan kemerdekaan Sarawak.

Walaupun dalam keadaan serba kekurangan, beliau tetap meneruskan cita-citanya untuk menerbitkan Utusan Sarawak yang dijual dengan harga 10 sen senaskhah. Akibat kekurangan pembaca, beliau terpaksa bekerja keras
untuk menampung kos penerbitan akhbar itu. Beliau sanggup menderita asalkan perjuangannya dapat diteruskan demi melihat perpaduan dalam kalangan orang Melayu seterusnya memerdekakan Sarawak daripada terus dijajah.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dalam Kabinet Ketua Menteri kedua, Datuk Penghulu Tawi Sli dan Menteri Kebajikan di bawah Kabinet Ketua Menteri ketiga, Tun Abdul Rahman Yakub. Ikhwan Zaini bersara daripada politik pada 1972 dan jawatan terakhir dalam perkhidmatan awam yang dipegangnya ialah sebagai Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak. Tokoh hebat dalam sejarah politik Sarawak ini menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 13 Januari 1981 tetapi perjuangan beliau dalam menyatupadukan kaum Melayu khususnya tidak harus dilupakan begitu sahaja. Pengorbanan serta penat lelah beliau untuk melihat Sarawak terlepas daripada jajahan asing perlu dikenang oleh generasi muda kini supaya nikmat kemerdekaan dalam erti kata sebenar akan lebih dihargai.

 

Ikhwan ketika menerima pingat Panglima Negeri Bintang Sarawak (PNBS) daripada Gabenor Sarawak Tuanku Bujang Tuanku Othman.
Ikhwan ketika menerima pingat Panglima Negeri Bintang Sarawak (PNBS) daripada Gabenor Sarawak Tuanku Bujang Tuanku Othman.

About

Lihat Ini

20994275_2027386950831354_2497259724625860645_n

Ranting PBB perlu adakan mesyuarat selewat-lewat Okt-Nov ini

KUCHING: Beberapa muka baharu akan ditampilkan sebagai calon Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang akan ...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>