BIGtheme.net http://bigtheme.net/ecommerce/opencart OpenCart Templates
Home / SEJARAH / Kenali siapa Tun Abang Openg

Kenali siapa Tun Abang Openg

Abang Openg Abang Sapa’iee
Abang Openg Abang Sapa’iee

BERDASARKAN kecemerlangan kepemimpinan Tun Abang Openg Abang Sapa’iee dalam perkhidmatan awam yang melangkaui empat zaman sejarah Sarawak selain sumbangan kemasyarakatan, maka beliau (Allahyarham) adalah calon paling layak untuk menjawat jawatan Gabenor Sarawak (kini dikenali Yang di-Pertua Negeri) pada 1963.

Tun Openg dilantik sebagai Gabenor Sarawak yang pertama beberapa jam sebelum pengisytiharan kemerdekaan Sarawak di Padang Sentral (kini Padang Merdeka) pada 16 September 1963. Malah, pelantikan Tun Openg itu menyambung semula warisan ketokohan pemimpin yang diasaskan Datu Merpati.

INFO:

Tarikh lahir : 7 Oktober 1905

Tempat lahir : Kampung Datu, Kuching.

Dilantik Gabenor Sarawak 16 September 1963

Anak Melayu pertama menyertai Native Officer Services

Ketika menjadi Gabenor, Tun Openg yang sememangnya berjiwa rakyat dan disenangi pemimpin ketika itu termasuk pemimpin asing sering melakukan lawatan ke pelusuk tempat seperti Kampung Pendam (kini dikenali Sadong Jaya), Kampung Nonok Ulu (kini dikenali Kampung Asajaya), Kampung Moyan, Sebangan dan beberapa kawasan lain.

Lawatan Tun Openg ke kawasan berkenaan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.

Gabenor British, Alexander Waddell mengucapkan selamat tinggal kepada Abang Openg.
Gabenor British, Alexander Waddell mengucapkan selamat tinggal kepada Abang Openg.

Abang Openg dilahirkan di Kampung Datu, Kuching pada 7 Oktober 1905 ketika zaman pemerintahan Rajah Vyner Brooke dari sebuah keluarga penjajah Inggeris. Allahyarham dibesarkan dalam zaman daif seperti juga di tempat lain di Kepulauan Melayu yang dijajah ratusan tahun oleh kuasa Inggeris dan Belanda.

Namun, ketabahan orang Melayu yang pintar mengharungi perubahan demi perubahan melanda dari luar tetap digagahi untuk menerima pelbagai perubahan dalam bidang ekonomi, politik dan pendidikan. Abang Openg menyambung pelajaran di St Anthony School, Sibu selepas belajar di Sekolah Melayu di Kuching dan berakhir di St Thomas School, Kuching.

KERJAYA

Abang Openg bersama isteri, Dayang Masniah.
Abang Openg bersama isteri, Dayang Masniah.

Ternyata, beliau mendapat kelulusan dalam pelajaran yang mantap sehingga berjaya menjadi anak Melayu yang menyertai perkhidmatan awam pada tahun 1924 sebagai kerani. Sejarah kerjaya Abang Openg menunjukkan beliau seorang penjawat awam cemerlang dengan memegang pelbagai jawatan dan pangkat dalam empat zaman sejarah Sarawak iaitu zaman penjajahan Brooke, zaman Jepun, zaman penjajahan British dan zaman merdeka dalam Malaysia.

Ketika zaman penjajahan Brooke, Abang Openg adalah anak Melayu pertama dinaikkan pangkat menyertai Native Officer Services pada 1932 setelah berjaya menyertai perkhidmatan perkeranian. Dengan kenaikan pangkat itu, beliau ditukarkan ke Sarikei sebagai Senior Native Officer untuk beberapa tahun.

  Pada tahun 1940, Abang Openg ditukar ke Kuching sebagai Pegawai Daerah, jawatan yang ketika itu digenggam oleh pegawai ‘orang putih’ saja.

Pentadbiran Brooke yang sedang menggubal perlembagaan baharu dan rombakan Majlis Negeri untuk merayakan 100 tahun penjajahan Brooke melantik Abang Openg sebagai ahli Majlis Negeri seumur hidup – satu penghormatan tertinggi.

KEGIATAN dan JAWATAN

Tidak lama kemudian, Perang Dunia Kedua meletus dan Jepun mengusir Brooke sekali gus menduduki Sarawak pada akhir tahun 1941 sehingga 1945.

Pada zaman Jepun, Abang Openg mengekalkan jawatannya sebagai Gun-cho atau Pegawai Daerah Kuching sehingga September 1945. Sewaktu zaman penjajahan British, kerjaya Abang Openg semakin menyerlah dengan beberapa kenaikan pangkat dan penghormatan dalam masa peralihan dari pentadbiran tentera Australia kembalinya Brooke dan kontroversi serahan, beliau dilantik sebagai pegawai Majistret Mahkamah Daerah dan pegawai bertanggungjawab dalam seketariat hal ehwal perhubungan asli ketika itu.

Abang Openg (kanan) semasa menghadiri konsert Kuching Boy’s Home pada 1949 di Sungai Periuk, Kuching.
Abang Openg (kanan) semasa menghadiri konsert Kuching Boy’s Home pada 1949 di Sungai Periuk, Kuching.

Antara sidang Majlis Tertinggi yang melibatkan beliau adalah menentang Rang Undang-undang Penyerahan 1946 dan menyokong penubuhan Persekutuan Malaysia pada 1962. Abang Openg adalah salah seorang daripada lima wakil Sarawak yang menurunkan tandatangan pada Perjanjian Malaysia 1963.

Abang Openg turut menjadi Naib Presiden Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak bagi penggal 1947 hingga 1950, sebuah pertubuhan bersejarah dan penting dalam masyarakat Melayu. Beliau dilantik menjadi Presiden Majlis Islam sehingga 15 September 1963. Justeru, peranan dan sumbangan beliau dihargai penjajah British apabila beliau dianugerah bintang kebesaran Sarawak yang membawa gelaran Datu pada 1957 dan bintang O.B.E (Order of the British Empire) pada 1962.

KELUARGA

PERKAHWINAN

Abang Openg mendirikan rumah tangga dengan Dayang Masniah Abang Abdul Rahman (Allahyarhamah), cucu kepada Datu Patinggi Abdul Gapor, pemimpin yang menentang James Brooke dan dibuang negeri ke Umbai, Melaka pada 1860.

  Pasangan itu mempunyai 10 anak iaitu empat lelaki dan enam perempuan. Antara mereka ialah Datuk Abang Abdul Karim, lulusan Sarjana Muda Ekonomi yang juga seorang ahli perniagaan; Datuk Abang Johari, lulusan Sarjana Perniagaan yang juga seorang menteri politik. Beliau kini Timbalan Presiden PBB merangkap Menteri Pelancongan dan Menteri Perumahan dan adik mereka, Senator Dato’ Dayang Madinah.

BAPA BERJIWA RAKYAT, PENYAYANG

Sementara itu, menurut anak perempuan Tun Abang Openg, Senator Dato’ Dayang Madinah, ayahnya seorang yang tegas dan mengutamakan disiplin bukan sahaja terhadap anak-anak dan keluarga malah pekerja.

Sebagai contoh katanya, jika mereka pulang menghadiri kenduri selepas jam 8 malam, mereka tidak dibenar  menggunakan kemudahan rasmi kerajaan.

“Ini kerana bapa (Allahyarham) tidak mahu mengganggu pekerja Astana pada waktu malam. Maka, kami tidak dibenar menggunakan kemudahan itu. Ketika itu, perahu menjadi pengangkutan utama untuk menyeberangi dari bandar raya Kuching ke kawasan Petra Jaya,” katanya.

Meskipun, bersikap tegas namun Allahyarham merupakan seorang bapa penyayang dan menghabiskan masa hujung minggu bersama keluarga, kata Madinah.

“Bapa menjemput anak, menantu dan cucu-cucu makan bersama pada hujung minggu kerana pada waktu itu peluang untuk mereka bertemu dan berinteraksi dengan lebih dekat. Pada hari biasa bapa sangat sibuk dengan tugas rasmi,” katanya.

Menurut Madinah, bapanya sangat mementingkan pendidikan kerana bagi Allahyarham tidak ada harta paling bernilai kecuali pendidikan.

Justeru, Allahyarham mahu anak-anak mendapat pendidikan tinggi dan sempurna demi menjamin masa depan mereka. Dengan ini katanya, anak-anak dapat berkhidmat kepada rakyat dan Negara.

Beliau yang sangat rapat dengan bapanya memberitahu, sering mengikut bapanya melawat kawasan dan melihat sendiri kesusahan rakyat.

“Pengalaman semasa mengikut bapa ke kawasan ketika itu merupakan pengalaman sukar dilupakan kerana bapa mahu kami melihat sendiri kesusahan rakyat terutama di luar bandar,” katanya.

Madinah menjelaskan, bapanya seorang pemimpin berjiwa rakyat dan mudah didekati oleh semua golongan. Malah, bapa tidak mengambil kesempatan atas apa yang dimiliki beliau pada waktu itu.

Sebaliknya, Allahyarham menggunakan dana sendiri untuk menganjurkan program kemasyarakatan seperti khatamal al-Quran dan sebagainya.

About

Lihat Ini

Ayah angkat Wan Adruce memegang tombak Sharif Masahor.

Sharif Masahor

SHARIF Masahor atau nama sebenar Sayyid Mashyur bin Muhammad Al-Shahab merupakan seorang pemimpin yang amat ...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>