BIGtheme.net http://bigtheme.net/ecommerce/opencart OpenCart Templates
Home / Highlighted / Misi majukan belia tempatan

Misi majukan belia tempatan

cap1
Karim membaca akhbar Jiwa Bakti dalam pertemuan khas bersama beliau di pejabatnya di Kuching

Dengan bervisikan Masyarakat Cergas, Ceria, Berbudaya dan Harmoni, Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) Sarawak akan terus komited untuk merancakkan program pembangunan belia memandangkan golongan itu merupakan penyumbang utama kepada kemajuan negeri. Untuk mengetahui lanjut peranan kementerian itu, ikuti temuramah khas Jiwa Bakti bersama Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar), Datuk Abdul Karim Hamzah di pejabatnya di Kuching, baru-baru ini.

 

S: Datuk, nyatakan rancangan program KPS Sarawak untuk belia Sarawak bagi tahun ini?

 

J: KPS Sarawak merangka beberapa program untuk belia Sarawak sepanjang tahun 2016. Program itu menekankan beberapa bidang keutamaan iaitu dari segi pendidikan dan latihan, kenegaraan dan jati diri, gaya hidup sihat dan sejahtera, kepimpinan, keusahawanan, kesukarelawan, penyelidikan dan inovasi, profesionalisme kerja serta pengiktirafan. Antaranya Perkhemahan Remaja, Program Belia Got Talents-Creativity and Innovative, Perkampungan Siswa, Sambutan Hari Belia, Malam Anugerah Belia Sarawak, Jamboree Belia, Kursus Keusahawanan Belia, Pertandingan Fotografi, Youth Heritage Trail Run, Program Pembangunan Sahsiah Diri Belia, Kursus Asas Kemahiran, Kursus Inovasi dan Kemahiran. Malah, kementerian juga menjalinkan kerjasama dengan Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS), Jabatan Belia dan Sukan Sarawak dan beberapa agensi kerajaan lain serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) di dalam menjalankan program-program belia di Sarawak. Melalui Pejabat Pembangunan Sosial Bahagian di kementerian saya, kita turut merangka pelbagai program yang berbentuk program keusahawanan, pembangunan sahsiah diri dan kepimpinan untuk dilaksanakan di seluruh bahagian.

 

S: Sumbangan belia untuk pembangunan negeri Sarawak?

J: Belia negeri ini tidak terkecuali untuk meningkatkan imej negara di persada dunia. Ini terbukti dengan beberapa kejayaan yang telah dilakukan oleh belia Sarawak di dalam mengharumkan nama negara. Antaranya, penerjun negara, Bryan Nickson Lomas dan Pandelela Rinong; dan Mohd Azlan Iskandar (pemain squash negara). Kesemua mereka telah menempa nama di kejohanan antarabangsa. Sementara, dalam bidang seni, nama seperti Dayang Nurfaizah, Noh Hujan, Hafiz Suib dan Zee Avi adalah tidak asing lagi dalam bidang seni suara di dalam negara atau luar negara. Sumbangan seperti ini, mampu menyumbang ke arah pembangunan belia dalam menentukan hala tuju dan masa depan negeri kita. Pencapaian mereka ini dalam mengharumkan nama negara amat membanggakan. Banyak peranan yang boleh dilakukan oleh para belia kita untuk pembangunan negeri secara langsung ataupun tidak langsung. Mereka menjadi tenaga kerja penting di negeri ini bagi memenuhi peluang pekerjaan yang ditawarkan di pelbagai sektor.

 

S: Peluang pekerjaan untuk belia?

J: Belia yang berkemahiran dalam bidang teknikal amatlah diperlukan kerana mereka merupakan jentera yang dapat membantu di dalam menjanakan ekonomi Sarawak pada masa akan datang. Golongan ini perlu sedar akan perubahan ekonomi yang berlaku. Pada masa kini, ekonomi negara kita telah beralih kepada ekonomi yang berasaskan perindustrian dan sekali gus memerlukan lebih ramai tenaga kerja yang mahir dalam bidang teknikal. Di Sarawak, kita memerlukan sekurang-kurangnya 30 peratus tenaga kerja dalam bidang teknikal dalam tempoh masa 20 tahun akan datang.

Koridor Tenaga Yang Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) dengan industri-industri yang telah dibawa masuk oleh pelabur luar menawarkan banyak peluang pekerjaan kepada para belia kita dari peringkat pengurusan hingga ke peringkat teknikal. Kesemua peluang ini memerlukan belia dari pelbagai kelulusan akademik dan kemahiran teknikal. Antara peluang pekerjaan yang terdapat di Sarawak adalah seperti dalam sektor pendidikan, seni, sektor pembuatan, perniagaan, perkilangan, pengangkutan, pembinaan, pelancongan, perubatan, kewangan dan penyajian. Malah, pihak swasta turut memainkan peranan mereka di dalam menyediakan peluang pekerjaan di Sarawak.

 

S: Belia hari ini dikatakan memilih kerja, komen Datuk?

J: Memang diakui, terdapat belia yang memilih pekerjaan. Berdasarkan Statistik Perangkaan 2013, kadar pengangguran di Sarawak mencatatkan 3.85 peratus (45,500 orang) manakala yang bekerja adalah 1,141,600 orang di pelbagai sektor. Masalah penggangguran merupakan cabaran ekonomi belia khususnya dalam kalangan Institut Pengajian Tinggi (IPT). Tahap kebolehpasaran atau keupayaan graduan untuk mendapat pekerjaan merupakan sebagai satu cabaran ekonomi belia. Isu pekerjaan untuk belia menjadi cabaran pada masa hadapan kerana pelaburan modal insan yang tidak memanfaatkan guna tenaga kerja belia adalah merugikan negara dari sudut penghasilan produktiviti. Kebanyakan pekerjaan yang dipelopori oleh belia adalah seperti makan gaji (85.3 peratus, menjadi majikan (1.2 peratus), bekerja sendiri (8.32 peratus) dan bekerja dengan keluarga tanpa gaji (5.16 peratus. Belia kita memilih pekerjaan adalah disebabkan oleh beberapa faktor seperti gaji lumayan, tempat kerja selesa, faedah sampingan, pengaruh keluarga, jarak dari tempat tinggal dan kelayakan akademik.

 

S: Pendekatan yang harus dilakukan untuk mengekang belia luar bandar berhijrah ke bandar?

J: Migrasi atau penghijrahan belia ke bandar adalah sukar dihalang atau dikawal kerana ia berkait rapat dengan proses urbanisasi yang menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka. Bagaimanapun, migrasi sangat digalakkan dari sudut penyerlahan potensi belia. Namun, fenomena ini perlu diurus kerana ia boleh menimbulkan kesan yang negatif. Kebanyakan belia memilih untuk memulakan kerjaya dan tinggal di bandar. Oleh itu, migrasi seakan membawa cabaran ekonomi baru kepada belia yang harus ditangani di masa hadapan. Sebagai contoh, sekarang terdapat kira-kira 40,000 masyarakat Dayak tinggal di Johor kesan daripada penghijrahan dari luar bandar ke bandar, manakala di Kapit sekarang mempunyai lebih 50 penempatan berbanding 40 penempatan pada tahun 1980 an.

 

Karim bergambar kenangan bersama peserta Karnival Transformasi Belia-Kursus Mekanik Automobil di Asajaya
Karim bergambar kenangan bersama peserta Karnival Transformasi Belia-Kursus Mekanik Automobil di Asajaya

 

About

Lihat Ini

20994275_2027386950831354_2497259724625860645_n

Ranting PBB perlu adakan mesyuarat selewat-lewat Okt-Nov ini

KUCHING: Beberapa muka baharu akan ditampilkan sebagai calon Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang akan ...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>