BIGtheme.net http://bigtheme.net/ecommerce/opencart OpenCart Templates
Home / Highlighted / Montegrai seorang daripada pemimpin Pembentukan Malaysia

Montegrai seorang daripada pemimpin Pembentukan Malaysia

Montegrai

KUCHING: Dato Sri Temenggung Montegrai anak Tugang merupakan seorang daripada pemimpin masyarakat Iban yang turut memain peranan membawa Sarawak untuk
membentuk Malaysia bersama Malaya, Sabah dan Singapura. Perwakilan dari Sarawak yang lain hadir pada mesyuarat Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia (JPPM) bagi pembincang pembentukan Malaysia itu ialah Yeo Cheng Hoe (Ketua), Tan Sri Ong Kee Hui, Tan Sri Temenggung Jugah anak Barieng, Tun Abang Openg, Datuk Leng Beng Siew, Datuk James Wong dan Remeigius Durin anak Nganau. Pada 3 Februari 1962 di Singapura, JPPM menyiapkan laporan ‘Memorandum Untuk Malaysia’ dan menyerahkan kepada Suruhanjaya Cobbold untuk perhatian dan pertimbangan. JPPM ketika itu dipengerusikan oleh Tun Fuad Stephens. Sir Alexander Waddell sebagai GabenorSarawak ketika itu berpendapat bahawa Sarawak menghadapi masalah yang sama dengan Sabah.

Menurutnya, cadangan pembentukan Malaysia adalah satu idea baharu yang mengambil masa sebelum rakyat dua negara ini dapat memahaminya. Antara alasan Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj yang menarik perhatian pemimpin Borneo ke arah kejayaan terbentuknya Malaysia sekarang ini ialah ancaman komunis kepada Sarawak sebagai alasan yang amat membimbangkan di kepulauan Borneo. Akhirnya kata kesepakatan tercapai membentuk sebuah persekutuan yang dinamakan Malaysia, dan perjanjian berhubung dengan persekutuan ini (Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak) dengan kerajaan British dibuat di London pada 9 Julai 1963. Persekutuan ini telah terbentuk pada 31 Ogos 1963 dan pengisytiharan pula dibuat pada tarikh 16 September 1963.

Temenggung Montegrai dilahirkan di Nanga Pasa, Betong, Saribas pada 1 Mei, 1918. Mendiang yang pendiam dan gigih berusaha, mendapat pendidikan awal di SK St. Augustine, Betong. Sejurus meninggalkan alam persekolahan, mendiang bekerja sendiri sebagai peladang dan kemudian membuka sebuah kedai runcit di pekan Betong. Dia dilantik sebagai Penghulu bagi Daerah Betong pada 1 Mei, 1949 hingga 1950, dan Pengerusi Lembaga Dayak Tempatan dan sebagai ahli Majlis Bahagian bagi Bahagian Kedua. Sebagai Pengerusi Lembaga Dayak Tempatan, dia kemudian menukarkan namanya kepada Majlis Daerah Saribas untuk mencerminkan daerah itu dianggotai kaum lain iatu Melayu dan Cina. Khidmat mendiang sebagai Pengerusinya tamat pada 1963.

Dalam tahun 1953, Penghulu Montegrai dianugerahkan pingat ‘Coronation Medal’ oleh Ratu Elizabeth. Pada 1955, dia dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Negeri dan dinaikkan pangkat dari Penghulu kepada Pengarah (kini Pemanca) pada 1956. Pengarah Montegrai kemudian dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 1960. Sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Negeri dan kemudian Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, dia dibawa melawat sambil belajar di London pada 1958 dan melawat Jepun di bawah Rancangan Colombo pada 1960.

Apabila Tunku Abdul Rahman merancang pembentukan Malaysia pada 1961, mendiang dilantik sebagai salah seorang anggotanya mewakili Sarawak dalam Jawatankuasa Antara Kerajaan. Dalam tahun 1973, Pengarah Montegrai dilantik sebagai Temenggung bagi Bahagian Kedua, jawatan yang beliau sandang sehingga meninggal dunia pada 1997. Jawatan-jawatan lain yang beliau sandang termasuk Ahli Lembaga SESCO dan Majlis Adat Istiadat Sarawak. Pada 1981, Temenggung Montegrai dilantik sebagai anggota Lembaga Pengampunan Negeri.

Antara anugerah yang beliau terima ialah Pingat Perkhidmatan Lama Negeri, Pegawai Bintang Sarawak (PBS) dan Ahli Mangku Negara (AMN). Pada 1972, Temenggung Montegrai dianugerahkan pingat Panglima Negara Bintang Sarawak (PNBS) yang membawa gelaran Datuk (kini Dato Sri) oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Datuk Patinggi Tuanku Bujang Tuanku Othman. Sebagai seorang peminat sukan bola sepak, beliau tidak pernah terlepas menyaksikan perlawanan pasukan Sarawak menentang pasukan lain dalam Liga Malaysia dan Piala Malaysia di Stadium negeri. Beliau meninggal dunia selepas serangan strok pada 23 Disember 1997.

 

Montegrai (tiga dari kanan) bersama Tun Jugah (tiga dari kiri) semasa melakukan lawatan rasmi ke Taiwan.
Montegrai (tiga dari kanan) bersama Tun Jugah (tiga dari kiri) semasa melakukan lawatan rasmi ke Taiwan.

About

Lihat Ini

20994275_2027386950831354_2497259724625860645_n

Ranting PBB perlu adakan mesyuarat selewat-lewat Okt-Nov ini

KUCHING: Beberapa muka baharu akan ditampilkan sebagai calon Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang akan ...

Satu komen

  1. Phyllis Montegrai

    Thank you, Jiwa Bakti Editorial Team for writing this article about my late grandfather’s humble service and contributions to the community in Sarawak in the early years. He is gone but his legacy will always be fondly remembered especially by his “anak uchu”, friends and relatives.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>