BIGtheme.net http://bigtheme.net/ecommerce/opencart OpenCart Templates
Home / Highlighted / Nancy jejaki langkah ibu

Nancy jejaki langkah ibu

Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Batang Sadong, Nancy Shukri terlebih dahulu aktif dalam NGO sebelum bergiat dalam politik. Beliau mula bergiat dalam politik selepas dilantik sebagai Setiausaha Politik Ketua Menteri. Ikuti temubual khas Jiwa Bakti bersama beliau di Simunjan baru-baru ini.

 

S: Boleh ceritakan sedikit mengenai pembabitan wanita dalam sektor perkhidmatan awam, swasta dan politik?
J: Kalau kita lihat penyertaan wanita dalam semua bidang iaitu perkhidmatan awam, sektor swasta dan politik, dari segi peratusannya, ia telah mencapai 53.6 peratus pada tahun lalu berbanding 46 peratus pada 2009. Ini menunjukkan peningkatan yang begitu baik sekali dengan menyaksikan kira-kira 600,000 penyertaan wanita dalam tenaga kerja dan tambahan sebanyak 0.3 peratus KDNK tahunan. Untuk itu, sasaran 55 peratus menjelang akhir tahun dilihat mampu dicapai. Apa lagi Malaysia berada di peringkat akhir untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020, maka adalah penting untuk memanfaatkan bakat dan tenaga wanita di negara kita. Kalau kita amati, pembabitan wanita dari segi ekonomi misalnya secara kecil dan sederhana, ia mampu memberi faedah yang banyak dan membantu menambahkan peratusan pembabitan wanita dalam sektor perniagaan sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara. Lebih-lebih lagi, kerajaan telah mensasarkan 30 peratus wanita dalam peringkat pembuat keputusan menjelang 2016, maka kita perlu bersama menggembleng tenaga dalam semua sektor untuk pastikan sasaran itu mampu dicapai sepenuhnya.
S: Bagaimana pula dengan sasaran 59 peratus kerajaan terhadap penyertaan wanita dalam tenaga kerja menjelang tahun 2020. Adakah ia diyakini mampu dicapai?
J: Insya-Allah saya rasa kita mampu. Sebab, kalau lihat dari segi pembabitan pelajar wanita sahaja iaitu yang memasuki universiti adalah lebih ramai daripada golongan lelaki. Jadi, melihat penyertaan mereka ini, saya berpendapat kita tidak ada sebarang masalah untuk mencapai sasaran 59 peratus itu.
S: Setakat ini, kita dapati golongan profesional wanita muda kurang terbabit dalam politik. Justeru, bagaimana caranya menggalakkan golongan profesional wanita muda itu supaya aktif dalam politik?
J: Bidang politik ini, ia ada dua cara sama ada kita hendak menggalakkan atau memberi peluang secara dasar kepada pelajar mahupun golongan profesional. Kalau kita lihat pada modul pelajaran di peringkat sekolah atau di peringkat universiti, kita perlu beri galakan kepada pelajar untuk berbahas, berfikir dan juga menganalisa. Apabila mereka berupaya melakukan kesemua ini, sudah pasti mereka dapat memberi komen dan mempunyai keyakinan diri untuk mengutarakan pandangan masing-masing. Ini adalah salah satu daripada cara untuk menggalakkan mereka terbabit dalam politik. Misalnya, kalau lihat Akta Universiti, pelajar diberi kebebasan untuk terbabit dalam politik. Cuma mereka tidak boleh berpolitik di dalam kawasan universiti kerana itu adalah bidang kuasa pengurusan Universiti itu sendiri.

Maknanya, pelajar tidak boleh berpolitik di dalam universiti tetapi untuk menjadi ahli politik dan bergiat dalam bidang politik di mana-mana sahaja, mereka tidak ada halangan. Dari situ, kita melihat galakan sememangnya ada. Bagi golongan profesional wanita yang bekerja dalam sektor awam pula, mereka tidak pernah dihalang atau disekat jika mahu aktif dalam politik. Ia terpulang kepada mereka sendiri. Cuma apa yang saya perhatikan, sebagai wanita kebanyakan mereka tidak mahu membabitkan diri dalam politik kerana mahu menumpukan perhatian kepad keluarga mahupun perhatian kepada pekerjaan masing-masing.

 

S: YB adalah seorang daripada profesional wanita aktif berpolitik. Siapa yang menjadi mentor YB dan sejak bila aktif berpolitik?

J: Sebenarnya saya terbabit dalam politik secara kebetulan sebab sebelum ini, tidak pernah terfikir untuk menjadi ahli politik. Pada mulanya, saya hanya terbabit dalam program kesukarelaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) wanita misalnya Pertubuhan Perkumpulan Wanita (WI) dan juga Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS). Daripada situ, mungkin pihak berkepentingan atau pemimpin kita di peringkat negeri memerhati pergerakan saya. Kemudiannya, saya dilantik menjadi Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri yang ketika itu adalah Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada Disember 2006. Itu merupakan pembabitan awal saya dalam politik. Selepas itu, menjadi calon untuk Parlimen Batang Sadong pada tahun 2008. Saya di Parlimen Batang Sadong sebenarnya bukan orang tempatan dan sebab itu saya mempunyai masalah sedikt. Namun, Alhamdulillah, sambutan dan sokongan terutama daripada penduduk tempatan terutama di kawasan itu amat menggalakkan sehingga saya rasa macam keluarga di sini. Kerana itu, saya ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan yang mereka berikan sehingga dapat menjadi Ahli Parlimen Batang Sadong sehingga kini. Dan kalau dikira dari segi mentor, memang saya mengikut jejak ibu saya, Bibi McPerson sejak kecil lagi. Ibu saya memang orang politik. Beliau menjadi Ahli Majlis Tertinggi Wanita PBB. Meskipun tidak pernah memegang jawatan sebagai menteri, tetapi beliau menjadi ahli Majlis Tertinggi PBB yang dilantik oleh Ketua Menteri pada masa itu. Dan beliau juga, terbabit dalam NGO wanita terutama sekali dalam WI. Sejak kecil, saya memang sentiasa mengikut ibu. Jadi, secara tidak langsung, budaya ini ada dalam diri saya.

S: Boleh komen mengenai ‘politik jalanan’ atau kaki lima yang giat dianjurkan oleh pihak tertentu?
J: Kita tidak dapat menidakkan kadang-kadang mereka ini adalah orang yang betul-betul mempunyai sebab untuk membawa perkara ini melalui politik jalanan. Kita tidak boleh memandang rendah terhadap perkara ini kerana kalau kita tidak mendengar (rintihan) rakyat, kita mungkin akan ketinggalan atau syok sendiri. Saya melihat kepada dua perspektif iaitu mendengar dan cuba menilai apa yang dimaksudkan mereka. Kalaulah apa yang dimaksudkan mereka itu merupakan isu yang belum ditangani, maka kita perlu ambil kira. Kalau kita sudah tangani, maka kita perlu memaklumkan status tindakan kita. Justeru itu, kita perlu membabitkan diri terutama sekali dengan golongan muda bagi menyampaikan maklumat yang tepat. Kita perlu bawa mereka bersama untuk berbincang dan memaklumkan kepada mereka apa yang disediakan oleh kerajaan kepada rakyat. Ada segelintir mereka tidak tahu dan terikut-ikut tanpa usul periksa tujuan sebenar politik jalanan yang dilakukan kerana ada yang sengaja dibuat atas muslihat tertentu. Kita sebagai pemimpin mahupun ahli politik perlu memainkan peranan ini bagi memastikan mereka ini tidak menggunakan politik jalanan untuk berbohong.

S: Perkembangan Jambatan Sadong (terpanjang di Sarawak) setakat ini… bila siap kelak apakah impaknya kepada penduduk di kawasan Batang Sadong khasnya dan Sarawak amnya?

J: Projek Jambatan Batang Sadong bernilai RM231 juta sedang berjalan lancar dan mengikut jadual ditetapkan. Projek jambatan merentasi Sungai Batang Sadong sepanjang 1.69 kilometer (termasuk tanjakan jambatan) seperti yang dijanjikan, dimulakan pada tahun 2011 sehingga selesai tahun 2016. Insya-Allah, pada bulan Julai tahun depan, ia sepatutnya sudah siap. Setakat ini pun, kalau kita lihat, lebih 90 peratus sudah siap. Justeru, saya amat gembira dengan perkembangan terkini akan pembinaan jambatan itu kerana ia merupakan penghubung kepada rakyat di kawasan luar bandar. Dengan siapnya jambatan ini, ia sudah pasti memberi sinar baharu kepada landskap pembangunan dan ekonomi rakyat di kawasan ini bahkan seluruh Sarawak. Apatah lagi, kebanyakan penduduk di kawasan ini terbabit dalam aktiviti pertanian dan perikanan, maka ia dapat memudahkan mereka memasarkan produk malah membolehkan lebih banyak masyarakat setempat membawa lebih banyak hasil pertanian, perikanan dan sebagainya ke luar sekali gus menyemarakkan sosioekonomi rakyat di sini.

S: Memandangkan kebanyakan penduduk di kawasan YB adalah petani, justeru adakah kawasan ini berpotensi muncul sebagai salah sebuah kawasan pengeluar produk pertanian?
J: Sudah tentu. Kalau kita lihat, kawasan di sini, ia memang sudah dimonopolikan hasil kelapa sawit tetapi pada masa sama, kita mencari-cari untuk menabahkan hasil yang lain. Sebab kalau dahulu, di sini, misalnya Simunjan lebih kepada tanaman nanas dan padi. Tetapi sekarang ini berkurangan, malah nanas tidak lagi ditanam di Simunjan sementara padi juga sudah berkurangan. Kerana itu kita mahu menggalakkan supaya mereka sentiasa kekal dan juga menanam produk-produk lain selain daripada produk seperti kelapa sawit. Kalau tidak, ia akan menjejaskan produk atau aktiviti-aktiviti tempatan kerana tidak ada kepelbagaian. Jadi, kita menggalakkan terutama sekali golongan muda untuk balik ke kawasan bagi memberi peluang untuk mereka terbabit dengan aktiviti pertanian.

S: Lubok Punggor dan Trangas adalah kawasan pengeluaran padi terkemuka. Pada pandangan YB adakah kawasan lain di Batang Sadong boleh dibangunkan seperti: Lubok Punggor dan Trangas
J: Sebenarnya banyak kerana ia terpulang kepada penduduk kampung untuk bertanam. Sebab itu, peranan ketua masyarakat di satu-satu kampung itu penting misalnya, Lubok Punggor, Lubok Buntin dan Tegelam. Sebab cara perkampungan itu adalah sama. Yang penting adalah perpaduan masyarakat setempat memainkan peranan. Pentingnya ketua masyarakat mempengaruhi masyarakat setempat untuk mematuhi atau bersama bersatu memutuskan apakah produk yang harus kita tanam secara berkampung supaya kita boleh terbabit dalam ladang. Jadi, itu akan menjadi hasil setempat. Banyak kawasan yang boleh dibangunkan untuk pengeluaran padi. Kalau di Simunjan ini sahaja, Lubok Punggor, Lubok Buntin, Benat, Tegelam berpotensi untuk pertanian ini sebab kawasan ini adalah agak terpencil. Apatah lagi kerajaan menyediakan banyak bantuan, maka adalah tidak sukar untuk kita membangunkan kawasan-kawasan itu menjadi kawasan pengeluaran padi terkemuka.

 

Nancy meninjau projek pembinaan Jambatan Batang Sadong baru-baru ini.
Nancy meninjau projek pembinaan Jambatan Batang Sadong baru-baru ini.

 

Nancy bergambar kenangan bersama ibunya, Bibi McPherson.
Nancy bergambar kenangan bersama ibunya, Bibi McPherson.

 

Nancy membaca akhbar Jiwa Bakti semasa sesi wawancara secara eksklusif di Simunjan.
Nancy membaca akhbar Jiwa Bakti semasa sesi wawancara secara eksklusif di Simunjan.

About

Lihat Ini

20994275_2027386950831354_2497259724625860645_n

Ranting PBB perlu adakan mesyuarat selewat-lewat Okt-Nov ini

KUCHING: Beberapa muka baharu akan ditampilkan sebagai calon Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang akan ...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>