BIGtheme.net http://bigtheme.net/ecommerce/opencart OpenCart Templates
Home / Highlighted / PBB bukan tamak, terpulang pada ‘9 YB’ mahu sertai PBB atau tidak

PBB bukan tamak, terpulang pada ‘9 YB’ mahu sertai PBB atau tidak

SEMBILAN ahli Yang Berhormat (YB) yang menang dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) pada 7 Mei, 2016, atas tiket sebagai calon langsung Barisan Nasional (BN) telah memohon untuk menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). Sungguhpun kesemua YB terbabit disyorkan kembali semula ke pangkuan parti asal masing-masing, namun mereka tidak menunjukkan minat untuk kembali semula.

Kenapa sembilan YB tanpa parti ini menaruh minat kepada PBB? Sebelum menerima mereka masuk ke dalam PBB, Pengerusi BN Negeri merangkap Presiden PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem tidak bersikap tergopoh-gapah. Adenan memberi masa secukupnya kepada kesemua sembilan YB tanpa parti itu supaya merujuk kepada penyokong di kawasan masing-masing mengenai hasrat untuk menyertai PBB.

Setiausaha Agung BN Negeri merangkap Setiausaha Agung PBB, Datuk Dr Stephen Rundi pula menasihati mereka supaya kembali ke pangkuan SUPP atau SPDP – dua parti komponen BN negeri. Stephen Rundi memberitahu, isu berkaitan sembilan YB tanpa parti itu jika boleh harus diselesaikan tanpa berlengah lagi kerana dalam masa dua tahun lagi negara berdepan Pilihan Raya Umum Ke-14. Menurut beliau, isu itu tidak ada kesudahannya jika semua pihak terbabit lebih gemar bercakap kepada media.

Bagaimanapun, jika kesemuanya masih bertekad untuk menyertai PBB, PBB sebagai parti tulang belakang kerajaan negeri tidak boleh menyekat kemahuan mereka. Sembilan YB itu tidak boleh dibiarkan terus bergantung tanpa tali. Dalam negara yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen, setiap rakyat berhak untuk menyertai pertubuhan atau parti politik yang disukai.

Justeru, sembilan YB tadi boleh memilih parti politik yang disukai. Tambahan pula kesemua YB ini bukan orang baharu dalam politik. Ada dalam kalangannya sudah menjadi wakil rakyat lebih 20 tahun. Mereka memilih PBB sebagai landasan untuk meneruskan perjuangan dalam politik kerana kita percaya mereka mendapati PBB sekarang lebih stabil, tidak mempunyai banyak kerenah kepemimpinan dan dianggotai oleh semua kaum pribumi Sarawak.

Kesediaan PBB untuk menerima kesemuanya bukan bermakna ‘PBB tamakkan kuasa’. Apa yang lebih penting bagi PBB ialah untuk memelihara kestabilan politik negeri dan keharmonian kaum. Sembilan YB berhasrat menyertai PBB ialah Tan Sri William Mawan Ikom, Paulus Palu Gumbang, Rosey Yunus, Miro Simuh, John Ilus, Datuk Gerawat Jala, Datuk Dr Jerip Susil, Ranum Mina dan Johnical Rayong Ngipa.

About

Lihat Ini

20994275_2027386950831354_2497259724625860645_n

Ranting PBB perlu adakan mesyuarat selewat-lewat Okt-Nov ini

KUCHING: Beberapa muka baharu akan ditampilkan sebagai calon Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang akan ...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>