BIGtheme.net http://bigtheme.net/ecommerce/opencart OpenCart Templates
Home / Highlighted / Rahsia 4K Gose Tambi

Rahsia 4K Gose Tambi

KUCHING: Semangat kesungguhan untuk berjuang demi bangsa, agama dan tanah air mendorong pemimpin veteran, Gose Tambi menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada usia 46 tahun. Bekas Ketua Wanita PBB Ranting Kampung No.6, Cawangan Satok itu berkata, kesungguhan yang dimaksudkan itu ialah 4K- kemahuan, kesudian, kesanggupan dan kesediaan dalam melaksanakan tugas dan khidmat untuk masyarakat negeri ini.

Menurutnya, beliau mula berjuang dalam PBB pada 1985 dan ketika itu sudah berumahtangga dan mempunyai enam anak. “Meskipun sudah berkahwin dan banyak masa dihabiskan dalam menggerak jentera parti bagi memperjuangkan nasib masyarakat Bumiputera terutama orang Melayu di kawasan Dewan Undangan Negeri Satok, namun saya tidak menyesal. “Apa pun kita lakukan untuk parti, ia hendaklah berpaksikan kepada kesungguhan untuk berjuang demi memajukan rakyat dan kemakmuran tanah air.

“Insya-Allah, jika baik yang kita lakukan, maka sejahteralah negeri ini,” katanya sambil memberitahu semangat berjuang untuk membangunkan kehidupan masyarakat Bumiputera masih ‘mekar’ dalam dirinya walaupun dimamah usia. Kata Gose, kenangan manis semasa bergiat aktif dalam PBB Ranting Kampung No.6 adalah ketika mengikuti perbarisan bersama ahli-ahli PBB pada program Hari Wanita Peringkat Negeri di Bintulu 1995.

Baginya, peristiwa itu dianggap sebagai kenangan manis kerana biar pun usia menjangkau lebih 50 tahun ketika itu, beliau tetap teruskan demi menabur bakti kepada negeri tercinta. “Tak kisahlah jika ada orang menganggap ia sebagai perkara kecil, tetapi amat bernilai bagi saya… sekurangkurangnya saya pernah berkawad di depan khalayak
umum dengan mewakili PBB Zon Kuching pada program tersebut,” katanya. Selain peristiwa itu, kata Gose, kenangan paling manis yang turut terpahat dalam hatinya adalah ketika menjalankan tugas meraih undi dan
sokongan rakyat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika berkempen dalam pilihan raya.

Katanya, banyak cabaran dihadapi demi memaklumkan kepada penduduk tempatan mengenai perjuangan PBB. “Misalnya untuk mendapatkan sokongan rakyat, saya serta rakan-rakan PBB yang lain terpaksa berjalan kaki dari rumah ke rumah supaya penduduk tahu apa yang kita perjuangkan selama ini. “Inilah antara pendekatan yang kita gunakan untuk mendekati rakyat,” katanya sambil menasihati generasi muda untuk sentiasa memberi kepercayaan kepada kerajaan BN dalam mentadbirkan negeri ini dan negara. Selain bijak membahagikan
masa sebagai seorang suri rumah dan berjuang dalam parti, ahli-ahli juga hendaklah sentiasa mengutamakan kepentingan perjuangan parti daripada kepentingan diri sendiri, katanya ketika diwawancara Jiwa Bakti di Kuching, baru-baru ini.

Gose yang menerima anugerah Darjah Kebesaran Bentara Bintang Sarawak (BBS) daripada Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng berkata, ‘kesungguhan’ itu akan sukar dicapai jika mempunyai keinginan yang tersirat. Mengenai kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem, Gose yang juga Ahli Jawatankuasa PBB Ranting Kampung No. 6 menyifatkan Adenan sebagai seorang pemimpin berkebolehan dan mempunyai banyak idea baharu. “Dasar-dasar pembangunan yang diusahakan Adenan memberi banyak manfaat kepada rakyat. Justeru, saya sarankan rakyat terus memberi sepenuh kepercayaan  dan sokongan kepada Adenan dalam mentadbirkan negeri ini,” katanya.

Gose menunjukkan pingat Darjah Kebesaran BBS pada sesi wawancara bersama Jiwa Bakti di Kuching.
Gose menunjukkan pingat Darjah Kebesaran BBS pada sesi wawancara bersama Jiwa Bakti di Kuching.

About

Lihat Ini

20994275_2027386950831354_2497259724625860645_n

Ranting PBB perlu adakan mesyuarat selewat-lewat Okt-Nov ini

KUCHING: Beberapa muka baharu akan ditampilkan sebagai calon Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang akan ...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>