BIGtheme.net http://bigtheme.net/ecommerce/opencart OpenCart Templates
Home / SEJARAH / Rentap tentang Brooke

Rentap tentang Brooke

Rentap“Kepahlawanan Rentap semasa melawan pemerintahan Rajah Putih telah menjadi inspirasi kepada pejuang Dayak semasa zaman darurat komunis. Ini termasuk Kanang anak Langkau dan Awang anak Raweng.”

MENGIKUT catatan sejarah, Ren-tap atau nama sebenarnya Libau dilahirkan di Skrang, Bahagian Betong, Sarawak dan merupakan seorang pahlawan Iban pada zaman pemerintahan Rajah Putih.

Rentap di bawah naungan Orang Kaya Pemancha Dana ‘Bayang’ yang sering mengetuai serangan ‘ngayau’  di kawasan selatan Sarawak hingga ke kawasan muara Sungai Kapuas dilaporkan merancang serangan ke atas pemerintahan Rajah Putih kerana tidak senang dengan kehadiran mereka di Sarawak.

Apabila Orang Kaya Pemancha Dana  sudah terlalu tua, Rentap mengambil alih mengetuai beberapa serangan di kawasan Sambas dan Pontianak, Indonesia. Atas keberanian dan kepahlawanannya, Rentap menjadi terkenal sebagai seorang pahlawan handal dan sering menentang pemerintahan Rajah James Brooke.

Menurut buku yang ditulis oleh Kapten Henry Keppel (4) pada 4 Jun 1843, Rajah Brooke dan Keppel mengatur satu ekspedisi untuk menyerang kaum Dayak yang diketuai Orang Kaya Pemanca Dana yang dikatakan sering mencetus huru-hara  di Sungai Saribas.

Pada 11 Jun, askar Rajah Brooke membakar rumah panjang Orang Kaya Pemancha Dana  di Nanga Padeh, Saribas. Tiga hari kemudian, menyerang sebuah lagi rumah panjang Linggi ‘Mali Lebu’  di Kerangan Pinggai,  Paku, disusuli ke rumah panjang Rekaya Antau ‘Linggang Neneri’ dan Rekaya Gun ‘Mangku Bumi’  di Sungai Tawai, Rimbas.

Rajah Brooke mengarahkan Orang Kaya Pemanca Dana, Linggi dan seorang lagi pengikut Linggi untuk menyerahkan Rentap supaya membuat perjanjian perdamaian dan tidak menjalankan ngayau lagi.

Setahun kemudian pada 19 Ogos, askar Rajah Brooke yang diketuai Datuk Patinggi Ali menyerang tempat kediaman Rentap  di Kerangan Peris Skrang, namun serangan ini berjaya dipatahkan oleh Rentap.

Rajah Brooke mendirikan kubu (Fort Of James)  di Nanga Sungai Skrang bagi menyekat pergerakan Rentap. Rentap dan pengikutnya menyerang Fort Of James pada 1853 dan pada bulan Disember, Rajah Brooke bergerak  ke hulu Sungai Skrang untuk mengadakan rundingan damai namun ditolak oleh  Rentap.

Pada tahun 1854, Rajah Brooke menghantar seramai 7,000 askar yang terdiri daripada orang Dayak dan Melayu untuk menyerang Rentap  di Sungai Lang, Skrang. Serangan yang begitu hebat akhirnya memaksa Rentap dan pengikutnya berundur ke Bukit Sadok.

Mereka memperkuatkan kedudukan di Bukit Sadok dengan membina kubu di kawasan curam yang ketinggiannya 2,725 kaki (830 meter) dan sukar untuk didaki oleh pihak musuh.

Pada 15 Jun 1857,  Tuan Muda Charles Brooke mengadakan ekspedisi pertama bersama askar seramai 3,500 Dayak dan 500 Melayu untuk menyerang kubu Rentap di Bukit Sadok.

Rentap dan pengikutnya bertindak balas  dengan menggunakan sebuah meriam (1515) ‘Bujang Timpang Berang’ yang mereka perolehi selepas membunuh penjaga kubu di Lintang Batang, Alan Lee, pada tahun 1853. Rentap dan pengikutnya berjaya menumpaskan askar Tuan Muda Charles.

Pada tahun 1858, Tuan Muda Charles mengadakan ekspedisi kedua dengan membawa  rombongan yang lebih besar untuk menangkap Rentap. Mereka menyerang dan membakar rumah panjang di kawasan Sungai Saribas dan hulu Julau yang menyebelahi Rentap.

Sekembali dari kawasan Julau, rombongan askar Tuan Muda Charles menuju ke Bukit Sadok untuk menyerang Rentap. Namun serangan itu juga berjaya dipatahkan Rentap dan pengikutnya. Kemenangan ini menyebabkan Rentap semakin terkenal dan digeruni oleh pihak musuh.

Pada 16 Oktober 1861, Tuan Muda Charles mengadakan ekspedisi ketiga untuk menyerang Rentap di Bukit Sadok.  Pada ekspedisi kali ini, sebanyak 12 meriam dibawa termasuk sebuah meriam yang digelar ‘Bujang Sadok’ yang kini masih disimpan  di Muzium Negeri  Sarawak.

Tuan Muda Charles menawarkan ‘Tajau Rusa’ kepada Nanang dan Luyoh iaitu anak kepada Orang Kaya Pemancha Dana yang merupakan pengikut Rentap supaya mengadakan rundingan dengannya. Rundingan ini dibuat tanpa pengetahuan Rentap.

Nanang dan Luyoh berjanji setia kepada pemerintahan Rajah Brooke. Ini menyebabkan Rentap marah dan memusnahkan kubu yang dibina oleh Nanang dan Luyoh di kaki Bukit Sadok.

Pada 28 Oktober 1861, meriam ‘Bujang Sadok’ melepaskan 17 das tembakan dan merosakkan sebahagian daripada kubu Rentap. Apabila Rentap menyedari keadaan ini, beliau mengarahkan pengikutnya berundur. Kubu Rentap telah dibakar namun beliau tetap tidak mahu menyerahkan diri dan berundur ke hulu Sungai Skrang di kawasan Bukit Lanjak Entimau, Lemanak dan Engkari. Selepas itu Rentap berpindah ke Ulu Entabai, Julau.

Di sini, beliau mendirikan kubu di Bukit Stulak. Beberapa tahun kemudian berpindah  ke Karangan Panggil  di Ulu Wak dan meninggal dunia pada 1870. ‘Lumbung’ (kubur) Rentap masih terdapat  di Bukit Sibau, Ulu Wak, Julau.

Kepahlawanan Rentap semasa melawan pemerintahan Rajah Putih telah menjadi inspirasi kepada pejuang Dayak semasa zaman darurat komunis. Ini termasuk Kanang anak Langkau dan Awang anak Raweng.

Di Malaysia amnya dan di Sarawak khususnya, Rentap dicatat dalam sejarah  sebagai perwira negara.

About

Lihat Ini

Ayah angkat Wan Adruce memegang tombak Sharif Masahor.

Sharif Masahor

SHARIF Masahor atau nama sebenar Sayyid Mashyur bin Muhammad Al-Shahab merupakan seorang pemimpin yang amat ...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>