BIGtheme.net http://bigtheme.net/ecommerce/opencart OpenCart Templates
Home / SEJARAH / Sharif Masahor

Sharif Masahor

Sharif Masahor mengetuai 150 buah perahu menyerang Mukah dan mengusir Pangeran Matusin yang dikatakan seorang barua dan penyokong kuat James Brooke di dalam memperluaskan kuasanya di Sungai Rajang.
Sharif Masahor mengetuai 150 buah perahu menyerang Mukah dan mengusir Pangeran Matusin yang dikatakan seorang barua dan penyokong kuat James Brooke di dalam memperluaskan kuasanya di Sungai Rajang.

SHARIF Masahor atau nama sebenar Sayyid Mashyur bin Muhammad Al-Shahab merupakan seorang pemimpin yang amat berpengaruh dan dihormati di Sarawak semasa pemerintahan zaman Rajah Brooke.

Kepemimpinannya sebagai ‘pembesar’ terbukti atas kejayaan menyatukan kaum Melanau di Lembah Rajang dengan kaum Iban di Sungai Skrang. Mengikut catatan sejarah, Sharif Masahor merupakan salah seorang pembesar Sarikei yang dilantik oleh Sultan Abdul Mu’mein dari Kesultanan Brunei.

Jika kita amati teks sejarah dari negeri-negeri Melayu, ada terselit nama Sharif Masahor di dalam perjuangan menentang penjajahan di Semenanjung Tanah Melayu dan pemerintahan lebih kurang 100 tahun Rajah Brooke di Sarawak.

Kewibawaan Sharif Masahor sebagai pembesar yang dilantik oleh Kesultanan Brunei tercabar apabila daerah Sarikei diletakkan di bawah pentadbiran Brooke. Ini berlaku apabila James Brooke mengambil wilayah Sungai Rajang daripada Kesultanan Brunei. James Brooke juga mencabar kewibawaan pembesar ini apabila mula membina kubu di Kanowit.

Ekoran daripada itu, pada tahun 1855, Sharif Masahor mengetuai 150 buah perahu menyerang Mukah dan mengusir Pangeran Matusin yang dikatakan seorang barua dan penyokong kuat James Brooke di dalam memperluaskan kuasanya di Sungai Rajang.

James Brooke yang bertindak balas, melucutkan kuasa Sharif Masahor di Sarikei. Ini menyebabkan Sharif Masahor marah. Kerana pengaruhnya yang kuat, Sharif Masahor berpakat dengan Datu Patinggi Abdul Ghapur untuk mengusir keluar James Brooke dari Sarawak. Pada tahun 1859, pakatan bala tentera Sharif Masahor telah menyerang Kanowit.

Setahun kemudian, pakatan Sharif Masahor dan Datu Patinggi Abdul Ghapur bertambah kuat selepas bergabung dengan Temenggung Hashim dari Sadong dan mereka membuat pakatan sulit untuk menyerang Kuching. Tetapi sayang, pakatan sulit itu dapat dihidu oleh James Brooke yang dengan lantas meminta pertolongan Belanda.

Belanda telah menahan Datu Patinggi Abdul Ghapur dan kemudiannya beliau dipenjarakan di Betawi sehingga meninggal dunia di sana. Ini tidak melemahkan semangat Sharif Masahor apabila beliau dengan pasukannya bertempur habis-habisan di Sungai Sadong.

Banyak kapal dan perahu Sharif Masahor telah ditenggelamkan di dalam perang itu. Kejadian ini memaksa Sharif Masahor dan pasukannya berundur ke Mukah bagi memperkuatkan kembali barisan perang mereka.

James Brooke yang masih belum berpuas hati atas penentangan Sharif Masahor, pada tahun 1861, memaksa Sultan Brunei untuk menyerahkan Mukah di bawah jajahannya dan apabila dipersetujui, James Brooke tanpa membuang masa menahan Sharif Masahor dan dipenjarakan dan kemudiannya dibuang negeri ke Selangor.

Kedatangan beliau di Selangor disambut baik oleh Raja Mahdi iaitu anak kepada bekas pembesar Kelang sebelum Sultan Muhammad menyerahkan Kelang kepada Raja Abdullah untuk dijaga iaitu Raja Sulaiman.

Persahabatan yang baik antara Sharif Masahor dan Raja Mahdi membolehkan Sharif Masahor diperkenalkan dengan ramai lagi kerabat diraja Selangor dan ini termasuklah Sultan Abdul Samad yang baru menaiki takhta. Sultan Abdul Samad melantik Sharif Masahor sebagai penasihat kepada baginda.

Sekitar bulan Mac 1867, terjadi satu perang saudara di Selangor ‘Perang Kelang’. Perang saudara ini berlaku antara Raja Mahdi dan Raja Abdullah gara-gara rasa tidak puashati apabila Raja Mahdi dipaksa membayar cukai kepada Raja Abdullah. Ketika itulah Sharif Masahor meninggalkan tugasnya dengan Sultan Abdul Samad sebaliknya turun membantu Raja Mahdi di dalam mengatur strategi peperangan.

Apabila Perang Kelang tamat sekitar 1874 dan Raja Mahdi berserta pengikutnya termasuk Sharif Masahor yang kalah mendapat pengampunan daripada Sultan Abdul Samad, kemudian Raja Mahdi membawa diri sehingga ke Johor dan akhirnya meninggal dunia di Johor. Sementara Sharif Masahor terus berbakti dengan Kesultanan Selangor.

Di ketika British cuba mencampuri urusan pentadbiran Negeri-negeri di Tanah Melayu, mengikut kajian seorang ahli sejarah tersohor Buyong Adil, Sharif Masahor dan pengikut yang setia kepada Sultan Abdul Samad telah bermati-matian menentang pihak British. Sharif Masahor bersama-sama dengan anak jati Selangor dikatakan berjaya memenggal kepala beberapa pegawai tentera British di Selangor dan kepala tersebut diletakkan di tengah bandar Kuala Lumpur sebagai tanda amaran kepada pihak British.

Pemberontakan yang didokongi oleh Sharif Masahor dan anak jati Selangor ini sengaja dirahsiakan oleh British dari pengetahuan umum kerana takut ia menjadi pemangkin kepada anak Sarawak di Sarawak dan juga anak jati negeri di Semenanjung Tanah Melayu bangun memberontak ke atas pentadbiran Keluarga Brooke di Sarawak dan juga Koloni British di bumi Semenanjung Tanah Melayu.

Akhirnya Sharif Masahor telah meninggal dunia pada tahun 1890 dan disemadikan di Kerling, Hulu Selangor. Makamnya masih lagi terjaga oleh Muzium Selangor sehinggalah sekarang sebagai memberi penghormatan kepada pendekar Sarawak dan juga pendekar Selangor ini.

Inilah sekelumit maklumat sejarah seorang pendekar Sarawak, Sharif Masahor yang bangun menentang Rajah Brooke di bumi Sarawak dan kemudiannya menaburkan bakti di bumi Semenanjung Tanah Melayu.

Ayah angkat Wan Adruce memegang tombak Sharif Masahor.
Ayah angkat Wan Adruce memegang tombak Sharif Masahor.

Pemberontakan yang didokongi oleh Sharif Masahor dan anak jati Selangor ini sengaja dirahsiakan oleh British dari pengetahuan umum kerana takut ia menjadi pemangkin kepada anak Sarawak di Sarawak dan juga anak jati negeri di Semenanjung Tanah Melayu bangun memberontak

About

Lihat Ini

Rentap tentang Brooke

“Kepahlawanan Rentap semasa melawan pemerintahan Rajah Putih telah menjadi inspirasi kepada pejuang Dayak semasa zaman darurat komunis. ...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>