BIGtheme.net http://bigtheme.net/ecommerce/opencart OpenCart Templates
Home / Sejarah PBB

Sejarah PBB

Bagaimana PBB dibentuk

Screen Shot 2015-03-25 at 2.30.21 AM

• Parti Bumiputera Sarawak terbentuk pada 30 Mac, 1968

• 30 April, 1973 lahirlah PBB

Screen Shot 2015-03-25 at 2.31.51 AM

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) lahir hasil daripada cantuman tiga parti politik di Sarawak – Parti Negara Sarawak (PANAS) dan Barisan Rakyat Jati Sarawak (BARJASA) yang bercantum terdahulu untuk membentuk Parti Bumiputera dan Parti Pesaka Anak Sarawak (PESAKA).

PBB dibentuk dan didaftar secara rasmi pada 30 April, 1973. Rundingan awal untuk bergabung dan membentuk PBB bermula pada September 1972.

Parti Bumiputera dan PESAKA kemudian bersetuju untuk bergabung secara rasminya pada 30 April, 1973.

Persetujuan untuk bergabung dan menubuhkan PBB bertujuan berjuang untuk meningkatkan taraf hidup serta melindungi kepentingan masyarakat Bumiputera dalam bidang politik, ekonomi dan sosial.

Sejarah awal perjuangan parti politik di Sarawak bermula dengan penubuhan parti PANAS pada 9 April, 1960, oleh Datuk Patinggi Abang Haji Mustapha selepas penubuhan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), parti politik pertama ditubuhkan di Sarawak pada 1959.

Kemudian pada 4 Disember 1961, parti BARJASA ditubuhkan oleh Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang Tuanku Othman.

Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Ya’kub dan Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud adalah antara pemimpin terawal menyertai parti itu.

Parti Pesaka Anak Sarawak (PESAKA) pula ditubuhkan pada Ogos, 1962, di Sibu oleh beberapa pemimpin Iban di Batang Rajang yang tidak mahu menganggotai Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) yang mereka dakwa hanya untuk masyarakat Iban di kawasan Saribas.

Antara pemimpin Iban yang menjadi pengasas PESAKA ialah Penghulu Masan anak Radin, Pengarah Bayang, Penghulu Chundi anak Resa dan Penghulu Francis Umpau. Tun Datuk Patinggi Temenggong Jugah Barieng, Temenggong Oyong Lawai Jau dan Jonathan Bangau menyertai parti itu kemudian.

Tun Jugah dan Oyong Lawai Jau ketika itu adalah ahli PANAS manakala Bangau ahli SUPP. Penghulu Tawi Sli dan Penghulu Abok anak Jalin turut menyertai PESAKA.  

Idea menubuhkan PESAKA adalah daripada Thomas Kana. Beliau dilantik menjadi Setiausaha Agung pertamanya.

  

Penubuhan Parti Bumiputera

Untuk memastikan kaum Bumiputera Islam Sarawak bersatu dalam politik, PANAS dan BARJASA merancang untuk bergabung selepas beberapa bulan pilihan raya majlis tempatan di Sarawak pada 1963.

Selepas beberapa siri rundingan, akhirnya PANAS dan BARJASA bersetuju untuk bergabung membentuk Parti Bumiputera Sarawak pada 30 Mac, 1968. Sehari selepas kedua-dua parti itu bergabung, Tan Sri Datuk Amar Abang Ikhwan Zaini dilantik sebagai Presidennya, Tuanku Haji Bujang sebagai Naib Presiden dan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sebagai Setiausaha Agung.[1]

Pembentukan PBB

Parti Bumiputera mula berunding dengan PESAKA untuk menggabungkan kedua-dua parti itu pada 1968. Bagaimanapun, PESAKA pada awalnya tidak mahu menerima idea itu kerana dikhuatiri akan dikuasai Bumiputera Islam. 

Satu lagi rundingan diadakan antara PESAKA dan Parti Bumiputera ialah pada September, 1972, dan hasil rundingan itu kedua-dua belah pihak bersetuju untuk bergabung pada 5 Januari, 1973. PBB akhirnya didaftar dan ditubuhkan secara rasmi pada 30 April, 1973.

Selepas PBB ditubuhkan, Temenggong Jugah anak Barieng dilantik sebagai Presiden pertamanya, manakala Tun Pehin Sri Abdul Taib sebagai Timbalan Presiden dan Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman Ya’kub sebagai Setiausaha Agung.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>