BIGtheme.net http://bigtheme.net/ecommerce/opencart OpenCart Templates
Home / SEJARAH / Tokoh perintis memacu kegemilangan Bumi Kenyalang

Tokoh perintis memacu kegemilangan Bumi Kenyalang

Screen Shot 2015-03-25 at 2.20.03 AM
Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan

Ketua Menteri pertama

Tan Sri Datuk Amar Stephen

Kalong Ningkan
(1963-1966)

Tarikh Lahir: 20 Ogos 1920
Tempat lahir: Betong

Setelah menamatkan persekolahan, beliau bekerja sebagai kerani dari 1938 hingga 1939. Beliau meletak jawatan untuk menyertai pasukan polis sebagai konstabel dari 1940 hingga 1946 dan menjadi guru di sekolah lamanya di Betong mulai 1947 hingga 1950.

Beliau kemudian bekerja di hospital syarikat Shell di Kuala Belait, Brunei untuk beberapa tahun. Beliau menjadi pengasas dan presiden Persatuan Dayak Sarawak antara 1958 hingga 1960 dan kembali ke Betong untuk menubuhkan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) pada 10 April 1961.

Ningkan dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak yang pertama pada 21 Julai 1963 oleh Gabenor ketika itu, Sir Alexander Waddell.

Pada 16 Jun 1966, beliau disingkirkan dari jawatan apabila Gabenor menunjukkan surat kehilangan kepercayaan oleh 21 daripada 42 Ahli Dewan Undangan Negeri dan didesak meletak jawatan Ketua Menteri. Beliau enggan berbuat demikian dengan alasan tiada berlaku hilang keyakinan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau dipecat oleh Gabenor tetapi kemudian dikembalikan jawatan Ketua Menteri oleh Mahkamah Tinggi Borneo pada 7 September 1966, yang menyatakan bahawa undi tidak percaya perlu secara rasmi melalui DUN.

Beliau mahu membubarkan DUN untuk mendapat mandat baru rakyat sebaik menyandang semula jawatan Ketua Menteri, tetapi Kerajaan Malaysia memutuskan untuk mengena peraturan darurat, kerana dikatakan berlaku kekecohan dalam negeri.

Kerajaan Malaysia juga meminda Perlembagaan Sarawak untuk memberi kuasa kepada Gabenor memanggil sidang DUN. Akhirnya undi tidak percaya diluluskan pada 23 September 1966 dan ini menyebabkan Ningkan hilang jawatan Ketua Menteri buat kali kedua.

Ningkan meninggal dunia pada usia 76 tahun, pada 31 Mac 1997.

Screen Shot 2015-03-25 at 2.20.08 AM
Datuk Penghulu Tawi Sli

Ketua Menteri kedua

Datuk Penghulu

Tawi Sli
(1966 – 1970)

Tarikh lahir: 12 Jun 1912
Tempat lahir: Banting

Tawi Sli mendapat pendidikan awal di Sekolah St Thomas, Kuching hingga Tingkatan 3 sebelum menjadi guru sekolah mubaligh. Beliau kemudian bertugas sebagai kerani dengan jabatan kerajaan sebelum bersara pada 1961.

  Pada 1963, Tawi Sli dilantik sebagai Penghulu dan mula bergiat cergas dalam politik. Beliau adalah Setiausaha SNAP cawangan Simanggang (kini Sri Aman). Beliau kemudian meletak jawatan daripada SNAP dan menyertai Parti Pesaka Sarawak pada 1966.

Tawi Sli dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak yang kedua oleh Tun Abang Haji Openg ketika krisis perlembagaan negeri membabitkan Kalong Ningkan ketika itu. Beliau menyandang jawatan Ketua Menteri untuk tiga bulan (16 Jun hingga 7 September 1966) sebelum Ningkan dikembalikan jawatan itu oleh mahkamah.

Bagaimanapun, Tawi Sli kemudian mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri untuk kali kedua pada 23 September 1966 setelah Ningkan berjaya disingkirkan.
Tawi Sli bersara daripada politik pada 1974 dan kemudian terbabit dalam perniagaan sehingga meninggal dunia pada 1987.

Screen Shot 2015-03-25 at 2.20.12 AM
Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Ya’kub

Ketua Menteri ketiga

Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Ya’kub

(1970-1981)

Tarikh lahir: 3 Januari 1928
Tempat lahir: Kampung Jepak, Bintulu

Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Ya’kub, adalah keturunan Melanu dan anak nelayan yang menjadi Ketua Menteri Sarawak ketiga dan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, keempat. Beliau aktif dalam sukan pada zaman sekolah terutama bola sepak. Beliau kuat berpegang kepada agama dan minat membaca terutama buku berkaitan Islam. Malah, beliau mengendalikan kelas agama secara percuma selepas bersara daripada politik pada 1985.

  Beliau berusia 26 tahun apabila diterima masuk ke University of Southampton untuk belajar undang-undang pada 1954. Lima tahun kemudian, beliau lulus dan dilantik pegawai kadet undang-undang. Beliau bertugas sebagai Timbalan Pendakwaraya di Jabatan Undang-Undang Sarawak dari 1959 hingga 1963. Tun Rahman adalah Bumiputera pertama dari Sarawak lulusan undang-undang dan sebagai peguam dari Lincoln Inn.

Tun Rahman memainkan peranan penting dalam penubuhan Parti Negara Sarawak (PANAS) dan Barisan Rakyat Jati Sarawak (BARJASA) dengan membantu merangka deraf perlembagaan dua parti itu. Bagaimanapun, beliau memutuskan untuk menyertai BARJASA.

Beliau dipilih oleh Dewan Undangan Negeri untuk menjadi Ahli Parlimen pada Oktober 1963 dan kemudian dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar untuk Sarawak, dan dinaikkan ke jawatan Menteri Tanah dan Perlombongan pada 1965.

Tun Rahman kemudian dilantik sebagai Menteri Pelajaran pada 1969 dan antara langkah beraninya ialah menukar penggunaan bahasa Melayu daripada bahasa Inggeris di semua sekolah dan institusi pengajian tinggi selain memansuhkan peperiksaan darjah 6.

Beliau bertanding dan menang kerusi DUN Kuala Rajang pada pilihan raya negeri 1970 dan kemudian dilantik sebagai Ketua Menteri. Beliau meletak jawatan sebagai Ketua Menteri pada 26 Mac 1981 dan dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri hingga 1985.

Tun Rahman meninggal dunia pada 9 Januari 2015 pada usia 87 tahun.

Screen Shot 2015-03-25 at 2.20.17 AM
Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud

Ketua Menteri keempat


Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud
(1981-2014)

Tarikh lahir: 21 Mei 1936
Tempat lahir: Miri

Tun Pehin Sri Abdul Taib adalah juga Yang Di-Pertua Negeri ketujuh. Beliau menyandang jawatan Ketua Menteri pada usia 45 tahun mulai 1981 hingga 2014 iaitu 33 tahun, paling lama dalam sejarah politik Malaysia bagi jawatan itu selain menjadi Ahli Parlimen selama 38 tahun, kedua paling lama selepas Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah St Joseph Miri dan kemudian di sekolah St Joseph di Kuching. Cita-cita awalnya ialah untuk menjadi seorang doktor tetapi didesak oleh bapa saudaranya, Tun Abdul Rahman Yaakub untuk mengambil jurusan undang-undang di University of Adelaide, Australia dan tamat pengajian pada 1960.

Tun Pehin Sri Taib bekerja di Crown Council antara 1962 hingga 1963 dan kemudian meletak jawatan untuk bergiat cergas dalam politik. Beliau dilantik sebagai Naib Pengerusi parti BARJASA. Beliau mula dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Kerja Raya antara 1963 hingga 1966.

Beliau kemudian dilantik sebagai Menteri Pembangunan dan Perhutanan pada 1967 di bawah kepemimpinan Tawi Sli selaku Ketua Menteri. Dalam beberapa peristiwa, beliau kerap memangku jawatan Ketua Menteri. Bagaimanapun, beliau kemudian beralih ke Kuala Lumpur dan dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri antara 1968 hingga 1970. Pada pilihan raya umum Parlimen 1970, beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen Kota Samarahan. Beliau kemudian menyandang pelbagai jawatan dalam Kabinet Persekutuan dan jawatan terakhirnya sebelum kembali ke Sarawak ialah sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.
Untuk kembali ke Sarawak, beliau terpaksa bertanding dalam pilihan raya kecil di DUN Sebandi (kini Asajaya) pada Mac 1981 dan menang tanpa bertanding. Beliau menyandang kerusi Sebandi hingga 1987 apabila dipilih sebagai wakil rakyat kawasan Asajaya. Pada 2001, beliau memutuskan untuk beralih ke kerusi DUN Balingian.
Pehin Sri Taib meletak jawatan sebagai Ketua Menteri pada 28 Februari 2014 dan menjadi Yang Di-Pertua Negeri pada 1 Mac 2014.

About

Lihat Ini

Ayah angkat Wan Adruce memegang tombak Sharif Masahor.

Sharif Masahor

SHARIF Masahor atau nama sebenar Sayyid Mashyur bin Muhammad Al-Shahab merupakan seorang pemimpin yang amat ...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>