Ketua Menteri terima kunjungan Jawatankuasa World Martial Arts Masterships

KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menerima kunjungan hormat daripada delegasi World Martial Arts Masterships diketuai oleh Pengarah Kerjasama Antarabangsa, Dr Sung Ming Kang di pejabat beliau, Wisma Bapa Malaysia, hari ini.

Kunjungan itu bertujuan memperkenalkan World Martial Arts Masterships kepada Ketua Menteri, di samping mempelawa Abang Johari untuk turut serta dalam pembangunan seni mempertahankan diri dunia.

Selain itu, ia juga adalah untuk mendapatkan pandangan dan nasihat Abang Johari untuk melibatkan Sarawak dalam penganjuran World Martial Arts Masterships pada 2021 nanti.

Penganjuran pertama World Martial Arts Masterships adalah pada 2016 di Korea dan telah mendapat sambutan dunia dengan melibatkan 2073 peserta dari 87 buah negara dalam seni mempertahankan diri yang terpilih termasuk memanah berkuda, wushu, muaythai, taekwando, hapkido, judo dan kick boxing.

Ia kemudiannya diikuti dengan penganjuran Youth Martial Arts Masterships di Korea pada bulan lepas dan Second World Martial Arts Masterships pada 2019 yang akan melibatkan 3000 peserta dari lebih 100 buah negara.

Turut hadir World Martial Arts Masterships Committee, Abang Dato’ Paduka (Dr) Ariffin Abang Borhan. – Penerangan