Program Sarawak Celebrates semarakkan perpaduan

KABONG: ADUN Kabong, Mohd. Chee Kadir mahu semua kaum meraikan perpaduan serta mengutuhkan rasa kebersamaan dalam masyarakat biarpun dibeza kaum dan juga anutan agama.

Kerajaan jelasnya mengatur dan melaksana pelbagai program seperti ‘Program Sarawak Celebrates’ Peringkat Daerah Kabong 2107 dengan tujuan jelas bagi menyemai dan menyubur bibit perpaduan kaum.

Program atas anjuran Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Sukan Negeri Sarawak itu kata Chee tidak akan membuahkan hasil positif jika rakyat enggan mendukung aspirasi murni kerajaan.

“Program seumpama ini dilaksana untuk mengukuh elemen integrasi dan menyatukan masyarakat pelbagai etnik agar boleh hidup dalam suasana harmoni.

“Gagasan Perdana Menteri menerusi konsep 1Malaysia perlu kita hayati dan Sarawak telah dipilih sebagai negeri contoh untuk konsep 1Malaysia dengan lebih 32 suku kaum di dalamnya.

“Pengiktirafan juga diberikan kepada bandaraya Kuching sebagai Bandaraya Perpaduan pada tahun 2016 menyerlahkan penerimaan kerajaan terhadap suburnya perpaduan di Sarawak, “ujarnya.

Chee pada majlis itu turut mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada penganut Kristian dan selamat tahun baharu 2018 kepada penduduk.

Majlis pada malam tadi turut diserikan dengan persembahan kebudayaan serta pertandingan ratu pakaian tradisonal Iban dan Melayu.

Hadir sama Pegawai Daerah Kabong, Kamaludin Alkap dan tetamu jemputan khas yang lain.