Logo rasmi DBOS diperkenal, pejabatnya beroperasi hari ini

KUCHING – Sejak ditubuhkan pada 11 Mei 2017, Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) memulakan operasinya secara rasmi di pejabatnya, Tingkat 2, Menara SEDC, Ithsmus di jalan Sejingkat di sini, hari ini.

Majlis perasmian serta doa selamat pejabat operasi DBOS dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sambil disaksikan ahli Lembaga Pengarah DBOS yang dipengerusikan Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

Turut hadir Menteri Kewangan Kedua, Dato Sri Wong Soon Koh merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang; Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat), Abdullah Saidol dan Ketua Pegawai Eksekutif DBOS, Sim Kheng Boon.

Pada majlis itu, Abang Johari memperkenalkan logo rasmi DBOS dan juga pelancaran laman web rasmi dbos.gov.my.

Sementara itu, pada sidang media Abang Johari berkata DBOS akan membiayai dan akan memberi pinjaman kepada projek dengan nilai komersial.

Katanya, antara projek yang dibiayai DBOS adalah projek infrastruktur asas termasuk projek berkaitan Internet dan juga projek melibatkan sistem pengangkutan.

“DBOS juga akan turut membiayai projek dalam sektor tenaga diperbaharui, industri gas dan minyak, penjagaan kesihatan dan pertanian moden,” katanya.

DBOS memulakan operasi komersialnya dengan modal berbayar sehingga RM5OO juta dan dengan bermulanya secara rasmi operasi perniagaannya hari ini, DBOS akan dapat mengambil deposit daripada Kerajaan Negeri dan dari syarikat berkaitan kerajaan pada masa akan datang.