Dua parah motosikal bertembung di Jalan Kampung Badong

DARO : Dua lelaki parah apabila motosikal yang ditunggang mereka bertembung di Jalan Kampung Badong Daro pada jam 6.45 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Daro, Deputi Superitendan Polis (DSP) Neil Beginda berkata, mangsa yang dikenalpasti sebagai Julaihi Idris dan Shahrol Basirmadi terpaksa dirujuk ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.

“Shahrol dipercayai menghala ke pekan Daro manakala, Julaihi pula menuju ke arah Nangar. Bagaimana pun sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, salah sebuah motosikal ini dipercayai masuk ke laluan bertentangan sebelum berlaku pertembungan.

“Kita masih melakukan siasatan terperinci bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian ini,” katanya.

Katanya, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian muka dikejarkan ke Hospital Daro dan Sibu untuk rawatan susulan.
“Setakat ini, salah seorang daripadanya masih menerima rawatan kecemasan di ICU Hospital Sibu manakala, seorang lagi sudah mulai sedar di hospital yang sama,” jelasnya.