Sarawak terokai kerjasama dengan Oman dan UAE

MUSCAT (Oman): Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang kini dalam rangka lawatan lima hari ke Oman dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), semalam menyaksikan dua majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) bagi merintis jalan kerjasama dalam industri minyak dan gas di Sarawak.

MOU pertama ditandatangani antara Petrotel Energy Oman LLC (PTO) yang berhak mencari gali dan pengeluaran minyak dan gas di Oman dan South Sea Energy (SSE) yang bergabung dengan Sarawak.

MOU kedua ditandatangani antara Petros (syarikat gas dan minyak Sarawak) dengan SSE dan Petrotel.

Pengerusi Petros, Tan Sri Hamid Bugo dan Ahli Lembaganya, Datu Zuraimi Sabki menandatangani bagi pihak Petros manakala SSE diwakili Presidennya, Lily Chin dan Pengarah Eksekutif, Tiong Kiong King, sementara Pengerusi dan Ketua Eksekutif PTO, Dr Anil Chopra dan Ketua Pegawai Operasinya, Mike Lucich mewakili PTO.

Ketua Menteri bersama rombongan tiba di ibu negara Oman semalam sebagai sebahagian daripada usaha menerokai bidang kerjasama bagi membangunkan sektor hiliran industri minyak dan gas di Sarawak.

Terdahulu, Abang Johari mengetuai rombongan dari Sarawak mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Minyak dan Gas Oman, Dr Mohammad Hamad Al Rumhi di pejabat menteri berkenaan.

Dr Mohammad dalam ucapannya, mengalu-alukan kunjungan rombongan Ketua Menteri dan prospek kerjasama dengan Sarawak.

Abang Johari dalam ucapan balasnya pula, menzahirkan rasa yakin Oman dan Sarawak boleh bekerjasama dalam bidang itu untuk faedah bersama.

Beliau berkata, masa depan industri petrokimia dan produknya adalah cerah memandangkan trend kini beralih kepada kereta kuasa elektrik daripada menggunakan enjin sejajar dengan industri 4.0 dan usaha memajukan digital ekonomi.

Oman dan Sarawak, katanya, mempunyai demograpi yang sama dan sebagai negeri pengeluar minyak, ini boleh meningkatkan lagi hubungan ekonomi dua hala antara Oman dan negeri ini.

Turut serta dalam rombongan Ketua Menteri ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Datuk Amar Mohd. Morshidi Ghani.