Warga emas maut kemalangan kendiri

BINTANGOR : Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal yang dipandunya terbabit dalam kemalangan kendiri di Jalan Kelupu di sini, pada jam 4.30 pagi tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa yang dikenalpasti sebagai Kiing Song Kwong, 74, dipercayai menunggang motosikal berseorangan sedang menghala ke Bintangor.

Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Meradong, Deputi Superitendan Polis (DSP), Sopian Abu Bakar berkata, akibat kemalangan itu mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya.

“Motosikal jenis Honda Wave yang digunakan mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas. Bagaimana pun, kita masih melakukan siasatan terperinci bagi mengenalpasti punca sebenarnya,” katanya kepada media.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ)1987.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sarikei untuk tindakan susulan,” jelasnya.