Prasarana bersukan sementara bakal dibina di Darul Hana – Dr Rahman Junaidi

KUCHING: Prasarana sukan khususnya padang bola sepak sementara akan dibina di Darul Hana dalam masa terdekat.

Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, beliau memohon daripada Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) yang telah bersetuju dengan rancangan ini.

“Kemudahan sukan, khususnya padang bolasepak sementara untuk golongan muda akan dibina iaitu sebuah kawasan di Darul Hana sementara menunggu pembangunan di kawasan tersebut lengkap dibina sepenuhnya,” katanya.

Tambah Abdul Rahman lagi, Kampung Seberang telah banyak melahirkan pemain Sarawak namun sejak beberapa dekad gagal melahirkan pemain pemain bolasepak kerana kekurangan prasarana sukan ini.

Beliau, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai berkata demikian pada Majlis Penutupan Pertandingan Piala Kapas di SK Gersik sebentar tadi.

Memuji usaha gigih penganjur, Abdul Rahman menyatakan, kekurangan prasarana tidak menghalang dari acara sukan sebegini diadakan dan ini menunjukkan kepemimpinan yang baik.

Pertandingan tersebut anjuran Ranting Bapa, Wanita dan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kampung Panglima Seman Ulu di padang SK Gersik memperlihatkan sebanyak 32 pasukan dari Kuching dan Asajaya mengambil bahagian dari 13 hingga 21 Januari.

Pertandingan Piala Kapas diadakan buat pertama kali mengambil sempena pasukan Kapas yang terkenal di Kuching pada era 70-han yang pernah dianggotai oleh Awang Mahyan, Ali Shafie dan pemain-pemain Sarawak yang lain.

Keadaan hujan lebat serta keadaan padang becak tidak melunturkan semangat pasukan-pasukan yang beraksi pada hari terakhir pertandingan berkenaan.

Perlawanan akhir menyaksikan pasukan KPH FC bertembung dengan KALLOSA yang berkesudahan seri 1 sama. Menerusi sepakan penalti menyaksikan KPH FC menang 3 – 2. Keputusan penuh: KPH FC 4 KALLOSA 3.

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi PBB Pantai Damai Drahman Jeladin, Penganjur Majlis Razali Mohamed dan yang lain-lain.