Salur maklumat kawasan perlu lampu jalan – Dr Rahman Junaidi

KUCHING: Ketua masyarakat dan pemimpin kawasan luar bandar disaran menyalurkan maklumat kepada kementerian utiliti bagi mengenalpasti kawasan yang memerlukan lampu jalan.

Menteri Muda Utiliti Bekalan Elektrik Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, kementeriannya memerlukan maklumat daripada akar umbi bagi memudahkan proses sesuatu projek di sesuatu kawasan supaya tidak tercicir.

“Kita mensasarkan program bekalan elektrik luar bandar akan mencapai tahap 100 peratus di seluruh Sarawak menjelang tahun 2025,” tegasnya lagi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Menanam 22 Pokok Pisang anjuran Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Batu Lintang dan Pantai Damai di Bandar Baru Samariang.