Projek SCORE tawar banyak peluang pekerjaan

KUCHING: Sarawak merupakan penjana kuasa terbesar di Malaysia, menyaksikan 70 peratus potensi Malaysia terletak di pedalaman negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, atas dasar kepentingan strategik aset hidroelektrik, maka Sarawak telah memiliki Empangan Bakun yang kini memberi kawalan dan pengurusan sumber tenaga untuk memacu ekonomi negeri.

Katanya, Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang dilancarkan pada 2008 akan memastikan daya maju empangan hidro.

“Sehingga kini, kami telah meluluskan 22 projek pelaburan dalam SCORE membabitkan jumlah pelaburan sebanyak RM33.64 bilion. Projek ini bakal mewujudkan 17,093 peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada International Energy Week di sini, hari ini.