PBB Pantai Damai wujud dana insentif pelajar lepasan universiti

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Pantai Damai mengambil langkah dengan mengadakan Dana Insentif Pelajar Lepasan Universiti bermula pada tahun ini.

Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, dana ini adalah khas untuk mereka yang sudah melengkapkan pembelajaran mereka di peringkat universiti, khususnya mereka dari kawasan Pantai Damai.

“Kepada graduan universiti dari kawasan Pantai Damai yang telah menamatkan pembelajaran mereka di universiti boleh memohon dana insentif ini,” katanya.

Abdul Rahman, yang juga ADUN Pantai Damai berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Dana Pentadbiran Dan Aktiviti Persatuan Kelab DUN Pantai Damai di sini hari ini.

Sebelum ini, PBB Pantai Damai hanya menyediakan bantuan pendidikan yang dibuat dua bulan sekali dan insentif pelajar cemerlang dari sekolah rendah ke sekolah menengah, katanya lagi.

Menjelaskan bantuan tersebut adalah sebagai acara tahunan Pusat Khidmatnya, Abdul Rahman menegaskan, bantuan atau insentif tersebut mampu memberi dorongan dan galakan kepada golongan pelajar sehinggakan jumlah kualiti dan kuantiti mereka mendapat keputusan cemerlang juga telah meningkat.

Menurut Abdul Rahman, penyerahan bantuan pada majlis itu adalah satu tanggungjawab bagi setiap ADUN bagi mengagihkan peruntukan kepada Persatuan, NGO dan kelab.
Seramai 49 orang mewakili 22 NGO, 14 Kumpulan Zikir, 10 Kumpulan Hadrah dan tiga Persatuan Silat dari Pantai Damai menerima jumlah keseluruhan sebanyak RM181,000.

Turut hadir isteri beliau, Abdul Rahman Siti Syorgayah Ahmad Zaiden dan dif-dif kenamaan yang lain.