“Saya mahu bawa ramai ahli teknokrat sertai PBB bantu laksana digital ekonomi,” – Dr Annuar

KUCHING: Salah seorang Naib Presiden baharu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dr Annuar Rapaee akan berusaha untuk membawa lebih ramai ahli teknokrat Sarawak yang memiliki pengetahuan dan kemahiran dalam digital ekonomi menyertai parti itu.

Beliau berkata, penyertaan golongan tersebut akan dapat memberi sumbangan besar kepada misi kerajaan negeri untuk mentransformasi ekonomi negeri ini menerusi digital ekonomi.

“Saya akan bawa masuk lebih ramai ahli teknokrat dalam PBB supaya dapat membantu misi Ketua Menteri dalam mentransformasi ekonomi melalui ekonomi digital,” katanya semasa ditemui selepas pengumum keputusan pertandingan jawatan Naib Yang Di Pertua PBB di BCCK.

Dr Annuar berkata, beliau tidak menyangka akan memperolehi undi kedua terbanyak kerana beliau merupakan antara muka baharu daripada empat calon yang bertanding merebut jawatan berkenaan.

“Saya memasuki pertandingan ini disebabkan adanya kekosongan dan saya menawar diri untuk berkhidmat demi kesinambungan parti. Saya rasa kemenangan ini satu tanggungjawab,” jelasnya.

Sementara itu beliau menyifatkan keputusan yang dibuat oleh perwakilan menggambarkan kemahuan mereka mahu menyaksikan gabungan muka baharu dan lama dalam kepimpinan parti.