Empat Naib Yang Di Pertua PBB baharu sedia pikul mandat perwakilan dan ahli parti

KUCHING: Kesemua empat Nain Yang Di Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bagi sayap Bumiputera yang memenangi jawatan itu pada Perhimpunan Agung Parti itu Ke-14 bersedia memikul mandat dan kepercayaan diberi perwakilan.

Empat naib itu ialah Datuk Julaihi Narawi (Menteri Muda Jalan Pesisir Sarawak); Dr.Annuar Rapa’ee (Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi dan Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam) ; Dr.Abdul Rahman Junaidi (Menteri Muda Utiliti) dan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (Menteri Pelancongan, Kebudayaan, Belia dan Sukan).

Datuk Julaihi yang juga penyandang jawatan itu merangkap ADUN N27 Sebuyau menyifatkan pemilihan beliau untuk mempertahankan jawatan tersebut memberi gambaran jelas para perwakilan terus memberi kepercayaan untuk membawa pembangunan berterusan ke kawasan luar bandar.

“Saya mengucapkan terima kasih atas kepercayaan perwakilan untuk saya mempertahankan jawatan naib presiden ini dan sebagai wakil rakyat luar bandar saya boleh terus membawa harapan seluruh rakyat Sarawak yang masih dahagakan pembangunan berterusan dalam masa dekat dan masa akan datang,” katanya pada sidang media selepas sesi pembentangan usul di BCCK.

Menurutnya, beliau dan rakan-rakan Naib Presiden baharu itu akan bersama-sama memain peranan dalam menterjemahkan kepercayaan dan amanah perwakilan dan ahli-ahli PBB di seluruh negeri secara keseluruhan bagi merealisasikan agenda pembangunan yang telah direncanakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
ADUN N55 Nangka Dr.Annuar Rapa’ee yang merupakan muka baharu turut memberi penghargaan dan terima kasih kepada perwakilan kerana memberi kepercayaan dan keyakinan kepada beliau yang merupakan calon paling junior dari usia dan pembabitan dalam politik.

Menurutnya, perwakilan dan ahli-ahli PBB sekarang sudah lebih matang dan bijak dalam memilih pemimpin yang mana mereka bermuafakat mahukan gabungan pemimpin veteran, senior dan baharu dalam PBB untuk mengukuhkan lagi kedudukan parti itu yang merupakan tulang belakang kerajaan negeri.

Bagi Dr Abdul Rahman yang merupakan ADUN N 4 Pantai Damai dan juga muka baharu berkata, beliau dan rakan-rakan menggunakan mandat para perwakilan untuk membantu melaksanakan wawasan hebat yang telah direncanakan Yang Di Pertua Parti PBB juga Ketua Menteri Sarawak.

“Sesungguhnya kalau kita dapat bersatu padu, membentuk pasukan mantap dalam PBB, semua perancangan Ketua Menteri boleh dilaksanakan dalam tempoh ditetapkan sebelum 2030,” jelasnya.

Datuk Abdul Karim yang merupakan ADUN N15 Asajaya mengucapkan terima kasih kepada perwakilan kerana mengangkat beliau dari ahli Majlis Kerja Tertinggi PBB ke jawatan Naib Yang Di Pertua PBB yang menggambarkan mereka mahu melihat perubahan dari segi kepemimpinan.

“Ini satu kepercayaan diberikan kepada saya oleh para perwakilan. Dari segi majoriti undi itu tidak menjadi masalah. Lebih penting ialah harapan para perwakilan dan ahli-ahli PBB mahu melihat perubahan, sebab itu ada sedikit perubahan ke arah meremajakan parti,” katanya.