Festival Layang-Layang Kabong 2018 tarik minat antarabangsa.

KABONG: Festival Layang-Layang Kabong 2018 akan berlangsung pada 10 dan 11 Mac di Pantai Tanjung Kembang Kabong.

Penganjuran festival turut menarik minat penyertaan daripada peserta peringkat antarabangsa.

Pegawai Daerah Kabong, Kamaludin Alkap memberitahu selain penglibatan peserta luar negara, maklum balas penyertaan dari Sarawak dan Semenanjung juga amat menggalakkan dan sudah banyak diterima pada masa kini.

” Peserta luar yang telah mengesahkan penyertaan setakat ini ialah Ukraine, Thailand, Singapura, Indonesia, Austria, China, Australia, Afrika Selatan, Brunei Darussalam dan Scotland.

“Antara aktiviti yang akan dilangsung pada festival nanti adalah jualan, pameran produk tempatan, pertandingan karaoke terbuka, Bike Autoshow, sukaneka pantai, pentas Malam Kabong Kite Festival, pertandingan tarik tali antara negara-negara peserta, acara poco-poco, Pertandingan Gudi Ngambik, Pertandingan/ Pertunjukan Layang-Layang Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa, ” ujarnya.

Tambah Kamaluddin, penganjuran festival berkenaan adalah untuk kali yang kedua selepas diadakan pada tahun lalu.

Bagaimanapun untuk penganjuran kali pertama festival tersebut tidak melibatkan penyertaan peringkat antarabangsa.

“Objektif penganjuran festival untuk memperkenal tradisi permainan layang-layang kepada masyarakat umum serta sebagai mempromosi pantai di sini sebagai antara produk pelancongan negeri dan negara kita.

” Dengan penganjuran festival sebegini penduduk setempat akan dapat memanfaatkannya untuk menjana ekonomi serta memperkenal hasil produk tempatan kepada masyarakat dalam dan luar negara.

“Kita selaku penganjur berharap penduduk setempat akan menggunakan peluang pada masa festival dengan semaksimum dan beroleh banyak manfaat, ” katanya.