Pamer sikap puji semasa Festival Layang-Layang Kabong 2018 – Chee

KABONG: Jawatankuasa Pengelola
Karnival Layang – Layang Kabong 2018 kini siap sedia untuk menerima kunjungan orang ramai sempena karnival yang akan berlangsung pada 10 dan 11 Mac depan.

ADUN Kabong, Mohd. Chee Kadir ketika ditemui pada sesi tinjauan tapak festival bersama-sama jawatankuasa pengelola program hari ini memberitahu persiapan rapi kini rancak dilaksana bagi memastikan penganjuran acara tersebut menepati objektif dan berjalan lancar.

” Acara festival layang-layang kali ini merupakan acara yang besar bagi Kabong dan cukup gah dengan prestijnya yang tersendiri. Ia menagih komitmen yang padu bagi memastikan kejayaan penganjuran festival kali ini.

“Daerah ini bakal dikunjungi ramai pengunjung domestik dan tidak terkecuali kehadiran istimewa peserta dari luar negara. Pengunjung luar negara ini bakal menyaksikan semua yang dijalankan sepanjang penganjuran dan mereka ini akan membawa cerita tentang tempat kita ke negara mereka.

“Harapan saya dan pihak pengelola kepada netizen supaya dapat menunjukkan imej yang baik dengan mengamalkan nilai-nilai murni kepada tetamu luar negara dan mengutamakan kebersihan sepanjang karnival,” ujarnya.

Perngerusi Pengelola Festival, Kamaludin Alkap yang juga Pegawai Daerah Kabong memberitahu antara aktiviti yang turut diadakan ialah pentas hiburan, gerai jualan, acara sukan dan acara lain yang bakal dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Turut serta dalam sesi tinjauan tapak ialah Ketua Polis Daerah (KPD) Saratok, DSP Mordani Tanin.
Wakil Majlis Daerah Saratok (MDS), Majit Amit, kaunselor, ketua masyarakat dan wakil persatuan.