Kampung Hilir Laut dapat jambatan baharu

KABONG: Jambatan kayu usang di Kampung Hilir Laut di sini kini bertukar wajah daripada sebuah jambatan usang berstruktur kayu kepada sebuah jambatan baharu (konkrit).

Jambatan berkenaan yang siap sepenuhnya awal Februari dirasmikan ADUN Kabong, Mohd. Chee Kadir.

Hadir sama Pegawai Daerah Kabong, Kamaludin Alkap dan beberapa ketua masyarakat di daerah ini.

Proses naik taraf jambatan itu bermula Disember 2017 membabitkan kos sebanyak RM150,000 dengan jarak sepanjang100 meter. Jambatan berkenaan wujud sejak lebih 30 tahun lalu menjadi laluan harian penduduk yang tinggal di kawasan tepian sungai di sini.

Darmizan Daud, 40, mewakili penduduk di situ mengucapkan terima kasih kepada wakil rakyat kawasan itu dan kerajaan amnya kerana telah memberi keutamaan kepada masalah yang diutarakan dan mengambil tindakan segera dalam menangani perkara tersebut.

“Sebelum ini keadaan jambatan telah di maklumkan kepada Yang Berhormat Tan Sri William Mawan ketika lawatannya pada 28 Oktober 2017. Tan Sri Mawan meninjau keadaan jambatan itu bersama Mohd. Chee Kadir. Beliau dengan senang hati memberitahu pemberian geran sebanyak RM150,000 bagi tujuan naik taraf jambatan

“Walaupun pada dasarnya kerja pembinaan sepatutnya bermula tahun 2018 tetapi telah diawalkan proses pembinaan jambatan tersebut. Ini membuktikan kerajaan memang prihatin dengan nasib kami di sini.

“Sehubungan itu, saya berharap penduduk akan ingat jasa kerajaan dan terus berdiri teguh memberi sokongan kepada barisan kepemimpinan Barisan Nasional (BN) ” tambahnya.