Lima jambatan konkrit dibina di DUN Daro

DARO : Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM11juta untuk membina lima buah jambatan konkrit bagi kemudahan rakyat di kawasan DUN Daro.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.43 Daro, Safiee Ahmad berkata, jambatan itu terletak di Kampung Nanga, Pangtray dan Kampung Baru yang menyeberangi sungai Daro ke kawasan pekan.

Menurutnya, penyediaan prasarana itu menggunakan dana kerajaan negeri melalui projek khas dan dilaksanakan di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya Bahagian Mukah.

“Ini merupakan satu lagi hadiah kerajaan kepada rakyat di kawasan ini. Saya berharap projek ini pastinya akan memberikan manfaat dalam tempoh jangka panjang.

“Sehubungan itu, saya ingin mengucap terima kasih kepada seluruh rakyat terutama penduduk kampung kerana telah memberi kerjasama baik sehingga membantu kita menyiapkan projek mengikut jadual ditetapkan.

“Walaupun pelaksanaannya mengambil masa lebih setahun, namun kesemua projek ini berjaya dilaksanakan sepenuhnya,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan jambatan konkrit di Kampung Pangtray di sini, semalam.

Jambatan tersebut dibina untuk menggantikan jambatan kayu sebelum ini yang hanya dapat dilalui sebuah kereta pada satu-satu masa.

Dalam pada itu, beliau juga memberitahu kerajaan juga sedang membina sebuah dewan terbuka di Pangtray.

Katanya, dewan yang menelan kos sebanyak RM350,000 dari dana Kerajaan Persekutuan itu akan memudahkan penduduk kampung menganjurkan program kemasyarakatan termasuk majlis keramaian.