YB, DO, JKR, turun padang tangani lubang ‘perangkap’ di Jalan Kabong-Nyabor

KABONG: Tindakan segera dilakukan pihak berwajib semalam dengan memasang tanda amaran di kawasan jalan raya berbahaya yang berlubang besar.

ADUN Kabong, Mohd. Chee Kadir bersama-sama dengan Pegawai Daerah (DO) Kabong, Kamaludin Alkap turun padang disertai kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan agensi berkaitan meninjau lokasi jalan jalan raya berkenaan.

Tindakan segera dilakukan JKR dengan memasang penghadang dan lampu amaran di kawasan tersebut sementara menunggu proses membaik pulih dilakukan dalam masa terdekat.

Pengguna yang ditemui melahirkan rasa terima kasih kepada ADUN Kabong, Mohd Chee dan pegawai daerah yang peka dan bertindak segera terhadap masalah yang timbul di kawasan jalan raya utama itu.

Sementara itu, Chee yang ditemui menjelaskan kerja-kerja membaiki bahu jalan raya itu akan dilakukan segera bagi mengelakkan kejadian tidak diingini

” Tiada kompromi dalam soal berkaitan keselamatan. Kawasan itu memang bahaya kepada pengguna terutama pada waktu malam. Pihak JKR dan CMS memberi kerjasama yang amat baik dan positif apabila dimaklumkan isu tersebut. Mereka mengambil langkah yang segera dan akan melakukan kerja-kerja membaiki dalam kadar segera.

” Menurut pihak JKR, bahu jalan tersebut berlubang dan runtuh akibat terowong air yang dibuat daripada besi berkarat dan rosak yang akhirnya menyebabkan terbentuk lubang besar.

“Saya berharap kerja-kerja membaiki akan dapat disiapkan dalam tempoh singkat. Kita tak mahu lubang itu terbiar dalam tempoh lama kerana itu kawasan laluan utama.

” Terima kasih kepada netizen yang prihatin dan memaklumkan perkara sedemikian kepada pentadbir dan wakil rakyat demi keselamatan semua.Kita hargai sikap demikian berbanding hanya melihat dan tahu mengkritik sahaja, “ujarnya.

Jalan raya utama Kabong-Nyabor di kawasan Muroh dekat sini yang mempunyai satu lubang besar di bahagian bahu jalan raya tersebut pada dasarnya nampak rata pada bahagian atasnya namun di bahagian tepinya ada satu lubang besar terbentuk seperti sebuah ‘perangkap’ dan berbahaya kepada pengguna.

Justeru pada masa ini pengguna diingatkan agar berhati-hati dan memperlahankan kenderaan sewaktu melalui kawasan jalan itu.