Ketua Menteri umum perkara penting 6 Mac ini

SIBU: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan membuat pengumuman penyerahan kembali hak-hak Sarawak oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA 1963) dan Perlembagaan Persekutuan, pada 6 Mac ini.

Beliau berkata, pengumuman tersebut akan dibuat di Kuching tetapi tidak menyatakan secara terperinci lokasi dan masanya.

“ Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) pernah berkata beliau akan mengembalikan hak-hak Sarawak yang telah terhakis atau terambil di bawah MA 1963 dan perlembagaan kita, jadi dia telah bersetuju.

“Saya akan umumkan hak-hak yang akan kita dapat balik dan menjadi hak-hak Sarawak. Saya tidak mahu umumkan di sini sekarang. Kalau nak dengar boleh datang ke Kuching. Saya berani melakukan semua ini kerana hanya kita boleh menentukan masa depan kita sendiri dan banyak pembangunan strategic akan dilakukan ”,katanya semasa berucap pada Unity Night sempena sambutan Chap Goh Meh di sebuah hotel di sini malam semalam.