SK Sentebu bakal miliki dewan terbuka

SARIKEI : Sekolah Kebangsaan (SK) Sentebu, di sini bakal mendapat dewan terbuka yang boleh dimanfaatkan untuk menampung keperluan pembelajaran dan aktiviti luar bilik darjah mereka.

Pengumuman gembira itu dibuat oleh Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh ketika menghadiri majlis permuafakatan anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, di sini, semalam.

Menurutnya, kemudahan tersebut akan memberi faedah besar kepada pihak sekolah untuk menganjurkan pelbagai aktiviti terutama sukan dan riadah.

“Saya akan melihat bagaimana saya boleh menggunakan peruntukan tahun ini untuk menyediakan dewan terbuka bagi sekolah ini. Setakat ini, dua sekolah di kawasan ini iaitu SK Adin sudah mempunyai dewan sekolahnya sendiri, St Andrew pula sudah diluluskan.

“Sehubungan itu, saya akan berusaha untuk membantu meningkatkan kemudahan sekolah ini… demi kepentingan dan keselesaan anak-anak kita yang belajar di sini,” katanya.

Beliau berkata, kewujudan dewan terbuka membantu guru dan murid sekolah ini mengelolakan aktiviti yang turut melibatkan penyertaan pelajar termasuk ibu bapa.

Katanya, Kerajaan Negeri tetap akan berusaha untuk terus meningkatkan infrastruktur pendidikan di pedalaman selaras dengan misi untuk melonjak kualiti pendidikan negara.

Merujuk kepada situasi di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.41 Kuala Rajang, Len berkata, antara menjadi tumpuan untuk ditingkatkan termasuk bangunan sekolah, asrama, peralatan pembelajaran dan lain- lain lagi.

Beliau berkata, kesungguhan kerajaan terhadap perkara itu dibuktikan juga melalui pelbagai usaha termasuk melakukan transformasi ke atas sekolah pedalaman demi meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar.

Sehubungan itu katanya, kerajaan memandang serius aspek pembangunan insan kerana mahu menjadikan generasi muda hari ini sebagai individu berkualiti tinggi yang mampu memacu hala tuju pembangunan negara.

“Malah kesungguhan kerajaan negeri untuk membangunkan bidang pendidikan negeri ini terbukti melalui penubuhan Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak.

“Dengan adanya kementerian ini, kita dapat menyalurkan cadangan tertentu yang boleh diajukan secara terus kepada pihak yang berkaitan sebagai tindakan lanjut.

Beliau juga mahu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) merancakkan program motivasi bagi meningkatkan prestasi akademik di samping memastikan lebih ramai pelajar pedalaman layak melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi.

“Saya mahu lebih ramai pelajar di kawasan ini mencapai keputusan membanggakan Utamakanlah pendidikan kerana itulah satu-satunya jalan yang mampu mengubah masa depan,” katanya.