Digital: Sarawak terokai kerjasama dengan Singapura

SINGAPURA: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang mengetuai delegasi dari Sarawak untuk lawatan kerja dua hari ke Singapura hari ini berjumpa dengan Timbalan Perdana Menteri Singapura, Tharman Shanmugaratnam di sebuah hotel terkemuka di sini.

Ketua Menteri dan rombongan tiba di Singapura semalam dalam lawatan kerja bagi menerokai kemungkinan mewujud kerjasama dengan Kerajaan Singapura dalam bidang digital.

Timbalan Perdana Menteri Singapura dan Abang Johari berbincang secara ringkas sebelum menghadiri majlis makan tengah hari yang dihoskan oleh Tharman.

Hadir sama pada majlis makan tengah hari itu ialah Duta Besar Malaysia ke Singapura, Dato’ Zulkifli Adenan.

Rombongan dari Sarawak itu termasuk Timbalan-Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datu Sabariah Putit.

Setiausaha Kerajaan Negeri pagi tadi mengetuai delegasi yang terdiri daripada ahli Lembaga Multi Media Sarawak (SMA) melawat pejabat Singapore’s Smart Nation and Digital Government (SNDGO).

Pejabat Singapore Smart Nation and Digital Government di bawah Pejabat Perdana Menteri merancang serta mengutamakan projek utama Smart Nation, menggerak transformasi digital kerajaan, membina keupayaan jangka panjang dalam sektor awam dan menggalak penggunaan dan penyertaan daripada rakyat dan industri mengambil pendekatan bersama membangunkan Smart Nation.

Pada sebelah petang, Ketua Menteri dan Tan Sri James Masing bersama rombongan mengunjungi Singapore Infocomm Media Development Authority (IMDA) untuk menghadiri taklimat dan melawat premis berkenaan.

Ketua Menteri dan rombongan turut menghadiri rancangan dikenali “Maaf cakap”.

IMDA adalah sebuah badan berkanun yang membangun dan mengawal selia infocomm dan sektor media dengan cara holistik, mewujud sektor penuh dengan peluang untuk berkembang secara dinamik, mengembang bakat, kajiselidik, inovasi dan keusahawanan di kalangan IKS di Singapura.