Sarawak, Singapura tandatangani MoU pembayaran mobil

SINGAPURA: Singapura dan Sarawak hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mewujud kerjasama asas pembayaran digital bergerak.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang kini mengetuai rombongan dari Sarawak dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Singapura menyaksikan majlis menandatangani MoU itu di sebuah hotel terkemuka di sini.

Pada sebelah petangnya, Ketua Menteri mengadakan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong di Istana, Jalan Orchard, kemudian mengadakan mesyuarat dengan Menteri Kewangan Singapura, Heng Swee Kiat di pejabatnya di High Street.

Hadir sama pada majlis menandatangani MoU itu ialah Menteri Singapura yang bertanggungjawab terhadap Smart Nation, Dr. Vivian Balakrishnan, Timbalan-Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Datuk Amar Mohammad Morshidi Abdul Ghani dan Duta Malaysia ke Singapura, Dato’ Zulkifli Adenan.

SMA diwakili Pengerus Besarnya, Dr. Zaidi Razak dan Network for Electronic Transfers Pte. Ltd. (Nets) oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Jeffrey Goh.

Tan Sri Morshidi kemudian mengetuai sepasukan pegawai kanan Kerajaan Negeri Sarawak dan ahli Lembaga Multi Media Sarawak (SMA) menghadiri taklimat di Kementerian Perdagangan dan Industri Singapura.

Ketua Menteri berserta rombongan dari Sarawak tiba di sini Ahad lepas untuk menerokai kemungkinan mewujud kerjasama dalam bidang ekonomi digital dengan kerajaan Singapura.