Pembangunan jalan pesisir tetap dilaksana meskipun kos besar – Abang Johari

KUCHING: Pembangunan jalan pesisir dari selatan hingga ke utara Sarawak merupakan pendekatan jangka panjang kerajaan untuk membangunkan kawasan luar bandar di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, walaupun kos membina jalan pesisir itu besar kerana terpaksa membina banyak jambatan, namun kerajaan tetap meneruskan pembinaannya untuk kepentingan penduduk yang tinggal di kawasan pesisir pantai.

Kawasan pesisir pantai juga berpotensi dimajukan sebagai kawasan pertanian dan perikanan, katanya semasa merasmikan Seminar Pembangunan Jalan Pesisir Sarawak di sini hari ini.

Menurut Ketua Menteri, beliau mendapati kawasan pesisir di negeri ini sesuai dibangunkan dengan ladang kelapa memandangkan buah itu sekarang mendapat permintaan tinggi di Thailand dan China.

“Mengikut kepercayaan masyarakat di China, air kelapa muda mengandungi khasiat yang baik untuk kesihatan. Justeru, permintaan kelapa muda di China, saya percaya pasti meningkat,” katanya.

Menteri Muda Jalan Pesisir merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola seminar itu, Datuk Julaihi Narawi dalam ucapan aluannya berkata, seminar itu adalah sebagai salah satu inisiatif kerajaan untuk mendapat maklumbalas, cadangan serta input daripada peserta.

Antara matlamat seminar itu, katanya, adalah untuk memperkasa perancangan dan pelaksanaan pembangunan yang lebih holistik dan mantap di kawasan pesisir pantai negeri ini.

Menurut Julaihi, jalan pesisir pantai merupakan usaha berterusan kerajaan untuk membawa transformasi luar bandar di kawasan pesisir. “Sesungguhnya transformasi ini adalah doa dan harapan dari rakyat luar bandar”.

Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan, Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing, Menteri Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Muda Pengangkutan, Datuk Dr Jerip Susil dan Menteri Muda Hal Ehwal Korporat, Abdullah Saidol hadir sama.