Pengusaha tanaman getah bakal terima berita gembira

BETONG: Pengusaha tanaman getah di Bahagian Betong akan menerima berita gembira sempena Konvensyen Sistem pengurusan Amalan Pertanian Baik (GAP) anjuran Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang berlangsung esok.

Majlis perasmian konvensyen akan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Unggah Embas, merangkap Menteri Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak. Beliau adalah Ahli Parlimen P.204 Betong.

Sistem pengurusan Amalan Pertanian Baik (GAP) merupakan inisiatif dalam memastikan hasrat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil.

GAP diperkenalkan setelah melalui beberapa siri kajian oleh pakar dan jika pekebun kecil mengaplikasikannya dengan baik pastinya getah yang diusahakan akan mengeluarkan hasil berlipat kali ganda berbanding cara konvensional.

Untuk Bahagian Betong peruntukan besar bernilai jutaan ringgit akan diumumkan kepada penanam getah esok oleh Uggah.

RISDA telah merancang untuk melaksanakan sebanyak 34,800 aktiviti Tunjuk Ajar GAP bersama pekebun kecil sepanjang tahun ini yang melibatkan 8,700 pekebun kecil.
Anugerah Tokoh GAP bagi program Tanam Semula Individu dan Tanam Semula Berkelompok RISDA negeri Sarawak turut diumum.