HEP: Najib umum peruntukan tambahan 1.2 hektar tanah kepada penduduk terlibat

BELAGA: Perdana Menteri Datuk Patinggi Najib Razak mengumumkan peruntukan tambahan kepada penduduk yang terlibat dalam pemindahan dan penempatan semula projek Empangan Hidroelektrik Bakun (HEP).

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan HEP Bakun antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri di sini, hari ini.

“Oleh itu, sebelum saya datang ke sini (Bakun) saya telah meluluskan peruntukan tambahan sejumlah RM76 juta membabitkan 1.2 hektar tanah kepada mereka yang terlibat dengan penempatan semula projek Bakun sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Najib berkata, semua projek mega yang dilaksanakan di negara ini harus mendahulukan rakyat.

“Saya selalu menekan apa jua projek yang kita bangunkan mesti mendahulukan rakyat,” katanya.
Beliau diiringi Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Najib berada di negeri ini sejak semalam untuk rangka lawatan kerja.

Sebelum itu Najib melakukan tinjauan mesra ke Pusat Transformasi Luar Bandar dan Esplanade Bekenu, Miri.