Kerajaan gigih realisasi impian sedia jalan raya di utara Pulau Bruit

PULAU BRUIT : Pembinaan laluan yang menjadi penghubung utama antara Kampung Bruit dan Kut kini menjadi sasaran utama kerajaan bagi memastikan seluruh kawasan di utara Pulau Bruit dapat dihubungkan dengan jalan raya.

Menteri Muda Di Pejabat Ketua Menteri ( Hal Ehwal Korporat) Abdullah Saidol menyatakan hasrat itu pada Majlis Penyerahan Tapak Pembinaan Jalan Antara Tekajong dan Salah Kecil di Kampung Tekajong di sini, hari ini.

Majlis perasmian program disempurnakan Ahli Parlimen Tanjung Manis, Datuk Norah Tun Abdul Rahman.

Hadir sama, Pengurus Wilayah, Pejabat Wilayah Tengah JKR Sarawak, Cassidy Morris, Pemanca Bujang Razeli dan Jenna Robert yang mewakili Pegawai Daerah Daro.

Sehubungan itu beliau berharap JKR dapat melakukan kajian teknikal lebih awal ke atas kawasan berkenaan.

“Hanya melalui kajian itu, kita dapat menentukan keperluan yang berkaitan. Saya tidak menolak kemungkinan, kita juga mungkin berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk masalah tuntutan tanah oleh pihak tertentu.

“Justeru, hanya selepas ini semua selesai…agensi berkaitan boleh menentukan anggaran kasar kos yang dapat diperuntukan bagi tujuan berkenaan, ” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.42 Semop optimis pembinaan laluan antara Bruit dan Kut yang dianggarkan berukuran 16 kilometer itu akan melengkapkan sistem perhubungan antara kampung di Pulau Bruit.

Pada majlis yang sama beliau turut menyerahkan peruntukan RM30,000 untuk baikpulih masjid Kampung Penipah, RM100,000 kepada PIBG bagi pembinaan padang simen serba guna di SK Kampung Bruit dan RM80,000 untuk membina pagar Masjid Kampung Bruit.

“Saya juga ingin mencadangkan jalan raya antara Betanak hingga Kampung Tekajong dinamakan dengan nama Datuk Norah bagi menghargai jasa dan perjuangan beliau yang begitu komited sehingga terbinanya jalan raya tersebut.

“Ini pastinya satu sejarah dan hadiah terbesar kepada rakyat khususnya di utara Pulau Bruit yang sebelum ini hanya dapat berhubung melalui sungai dan laut.

“Saya berharap cadangan ini mendapat sokongan padu semua pihak,” jelasnya.