Kotak barakah TH manfaatkan lebih 200 bakal haji

PUSA: Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama Yayasan Tabung Haji hari ini menyumbang kepada salah seorang daripada lebih 200 orang bakal haji menerusi program serahan Kotak Barakah TH di 20 lokasi seluruh negara.

Pengurus TH Cawangan Sarikei, Madehi Mahdan berkata, “TH buat julung-julung kalinya menganjurkan Program Kotak Barakah TH pada tahun ini kepada bakal-bakal jemaah haji terpilih seluruh negara sebagai sumbangan kepada bakal jemaah haji terpilih selari dengan misi TH untuk mendekati rakyat,” ujar beliau semasa menyerahkan Kotak Barakah TH kepada salah seorang bakal jemaah haji, Abdul Wahap Dangu di Kampung Hulu Supa Pusa, Sarawak.

Program serahan ini adalah termasuk dalam usaha TH yang bersama-sama turun padang mendekati bakal-bakal haji yang terpilih menunaikan haji namun kurang berkemampuan. TH ingin berkongsi kejayaan yang diperoleh bersama pihak berkepentingan dengan memfokuskan kepada aspek tanggungjawab sosial korporat (CSR). Program-program seumpama ini turut membuktikan keprihatinan TH sebagai institusi Islam yang menjaga kebajikan para pendepositnya demi kemaslahatan ummah sejagat khususnya golongan asnaf.

Majlis ini turut dihadiri Timbalan Pengarah TH Sarawak, Mohammad Salim, anggota-anggota TH serta keluarga bakal penerima.