Manifesto BN memperkasakan rakyat dan negara – Fadillah

KUCHING: Manifesto Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak malam tadi, menyentuhi keperluan semua di setiap negeri dan cukup padat.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia amat berkesinambungan dengan pendekatan pucuk kepemimpinan BN, Datuk Seri Najib Razak yang sentiasa mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian sepanjang sembilan tahun menerajui negara.
“Bagi rakyat Sarawak dan Sabah, perkara yang menyentuh mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang mana hak-hak Sabah dan Sarawak akan direalisasikan secara konsensus adalah berita baik yang sememangnya ditunggu-tunggu selain banyak lagi perkara yang dimasukkan dalam Manifesto BN ke arah memperkasakan pembangunan di kedua-dua negeri berkenaan terutama di luar bandar agar seiring dengan negeri di Semenanjung,” katanya mengulas Manifesto BN.
Katanya, amat jelas Manifesto BN sememangnya hebat, merangkumi semua perkara dan setiap lapisan masyarakat dengan agenda utama ke arah pemerkasaan rakyat dan negara.