Manifesto BN tepati aspirasi rakyat – Safiee

DARO: Manifesto Barisan Nasional (BN) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bukan sahaja menggembirakan rakyat tetapi juga mempunyai hala tuju yang amat jelas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.43 Daro, Safiee Ahmad berkata, manifesto itu bersifat lebih menyeluruh di samping meliputi pelbagai aspek yang menepati aspirasi segenap lapisan rakyat.

“Manifesto ini membuktikan Barisan Nasional (BN) benar – benar memahami keperluan seluruh rakyat termasuk di Sarawak mahu pun Sabah.

“Malah, kita boleh nampak hala tuju yang jelas terutama bagi mencapai matlamat Transformasi Nasional (TN50),” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis penangguhan Pesta Daro 2018, di sini, hari ini.

Menyentuh mengenai penganjuran pesta kali ini, Safiee berkata, acara yang berlangsung selama 10 hari itu berjaya menjadi platform penyatuan rakyat pelbagai kaum.

Perpaduan dalam kalangan masyarakat katanya, cukup terserlah dengan kesungguhan mereka menjayakan aktiviti sampingan sepanjang pesta berkenaan.