Manifesto BN Sarawak fokus agenda pembangunan rakyat

KUCHING: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai rakan baik Sarawak hari ini melancarkan Manifesto BN negeri untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang menggariskan enam teras utama.

Abang Johari yang juga Ketua Menteri berkata, manifesto BN negeri yang bertemakan Transformasi Sarawak Melalui Ekonomi Digital – Kesinambungan dan Peluang Baharu – adalah untuk mensejahterakan rakyat dan membangunkan Sarawak seiring dengan Semenanjung Malaysia.

“Manifesto yang dilancarkan ini menggariskan enam teras utama untuk faedah rakyat Sarawak. Ia termasuk untuk meneruskan agenda pembangunan, pendidikan dan mengembalikan hak-hak Sarawak yangt terhakis,” katanya.

Teras pertama Manifesto BN Sarawak 2018 itu ialah terus melindungi hak-hak rakyat Sarawak dan memelihara keharmonian dan perpaduan, katanya dan menambah, yang kedua “kami akan terus menyediakan kemudahan dan peluang pendidikan yang lebih baik”.

Abang Johari berkata, teras ketiga pula “kami akan terus mempertingkatkan transformasi luar bandar dengan menaik taraf infrastruktur asas iaitu jalan raya, bekalan air, elektrik dan telekomunikasi.

Teras keempat, “kami akan terus meningkatkan kualiti hidup rakyat Sarawak degan menyediakan bantuan kebajikan dan peluang kepada golongan kurang berkemampuan dan golongan miskin di samping membina jalan raya dan jambatan.

Beliau berkata, untuk teras kelima “kami akan terus mewujudkan peluang-peluang baharu untuk kemajuan kemakmuran berterusan dan melaksanakan hak Sarawak ke atas minyak dan gas dan meningkatkan penyertaan rakyat tempatan.

Teras keenam, katanya, “kami akan terus mengamalkan tadbir urus yang baik dan berintegriti dengan menyediakan perkhidmatan yang cekap dan responsif kepada rakyat, mematuhi sepenuhnya prosedur kewangan dan komited terhadap ikrar integriti.