Persiapan terakhir giat dilakukan untuk pelancaran Manifesto BN Sarawak PRU14

KUCHING: Persiapan terakhir sedang giat dilakukan untuk majlis pelancaran Manifesto Barisan Nasional (BN) Sarawak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di ruang legar Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Jalan Bako, hari ini.
Tinjauan mendapati beberapa pekerja parti sedang melakukan kerja-kerja terakhir bagi memastikan majlis pelancaran itu berjalan lancar.
Pelancaran dilakukan Ketua Menteri merangkap Pengerusi BN negeri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada jam 4 petang ini.
Tema Manifesto BN negeri ialah “Mentransformasikan Sarawak Melalui Ekonomi Digital” Kesinambungan dan Peluang-Peluang Baharu.
Majlis pelancaran itu akan diserikan dengan persembahan koir oleh ahli-ahli parti yang menyanyikan lagu Negaraku, Ibu Pertiwiku dan Barisan Nasional.
Pelancaran itu dihadiri ahli-ahli Majlis Tertinggi Induk, Pergerakan Wanita dan Pergerakan Pemuda Parti Komponen BN- PBB, SUPP, PRS dan PDP.