PRU14: Hormati keputusan SPR – Abdullah Saidol

KUCHING: Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 11 hari pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) perlu dihormati oleh semua pihak terutama calon yang bertanding.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat), Abdullah Saidol berkata, tempoh masa berkenaan amat singkat dan mencabar untuk seorang calon terutama bagi kawasan yang luas seperti di pedalaman Sarawak.

“Cabaran utama pastinya logistik. Justeru, ia menuntut mereka untuk menyediakan jadual kempen yang lebih padat dan efektif terutama bagi calon yang baharu.

“Namun, ini mungkin agak mudah bagi calon yang sudah dikenali,” katanya ketika diminta mengulas mengenai pengumuman yang dibuat oleh SPR hari ini.

Beliau berkata, calon Parlimen di Sarawak sepatutnya tidak menghadapi masalah besar kerana wakil rakyat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak bertanding.

Contoh katanya, jika Calon Parlimen itu dari Barisan Nasional (BN) dan ADUN di kawasan Parlimen itu juga dari BN, wakil Rakyat ADUN BN boleh membantu calon Parlimen berkempen di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

“Kita baharu sahaja menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dua tahun lepas, saya yakin jentera pilihan raya di setiap kawasan Parlimen tidak berdepan masalah untuk membuat persiapan dan bergerak menghadapi PRU14 dua minggu lagi,” katanya.