RM1.5 juta untuk Stesen RISDA Kapit

SONG: Timbalan Menteri Luar Bandar Dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi menyampaikan peruntukan Pembangunan RISDA Stesen Kapit berjumlah RM1.5 juta hari ini.

Turut disampaikan ialah kelulusan TSB NCR Rh. Achan (RM967,200), kelulusan Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) kepada Jimbai Ak Jalai (RM10,000), PWPK Rh. Cecelia Bunsu (RM5,000), Program Tuisyen Rakyat@KKLW kepada SMK Kapit No.2 (RM12,500), bantuan Peralatan Peningkatan Produktiviti Getah (PPG), kelulusan Progran Tanam Semula RISDA Bahagian Sibu (Stesen Kapit) dan sijil pelantikan Pemaju Masyarakat RISDA (PMR) tahun 2018.

Menurut Nanta, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) terus memberikan komitmen dalam membantu pekebun kecil di seluruh negara dengan menyediakan peruntukan yang besar setiap tahun.

“Pada tahun ini sebanyak RM47 juta diperuntukkan kepada RISDA negeri Sarawak bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan.

“Ini bagi memastikan RISDA sebuah agensi di bawah kementerian dapat beroperasi secara menyeluruh di seluruh negara dalam memastikan tanggungjawab kepada pekebun kecil dapat dilaksanakan dengan cemerlang.

“Pelbagai program dilaksanakan RISDA di seluruh negara melibatkan pemerkasaan program tanam semula, peningkatan pendapatan pekebun kecil, mempergiatkan aktiviti hiliran serta memperbanyakkan program “touch point” dengan mendekati pekebun kecil.

“Jadi kerajaan (KKLW) melalui RISDA telah membuat perbelanjaan yang besar apabila diperuntukan sebanyak RM388.6 juta keseluruhan bagi program pembangunan pekebun kecil di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Kasihi Pekebun RISDA Negeri Sarawak 2018 bertempat di Balai Raya Song dekat sini.

Turut hadir ialah Pengarah RISDA Negeri Sarawak Noor Azan Mohd Noor, Pegawai Daerah Song, Jackline Bt August, Setiausaha Politik Ketua Menteri Sarawak, Tapah Ata dan Pengarah Pejabat KKLW Sarawak, Mahathir Bujang.

Menurut Nanta, selain program penanaman semula, RISDA turut melaksanakan pelbagai program lain termasuk keusahawanan, modal insan, prasarana dan Rumah Bina Negara.

Katanya, RISDA juga menekankan program-program sokongan untuk pembangunan modal insan pekebun kecil seperti Program Tuisyen Rakyat kepada anak-anak pekebun kecil getah.

“Ini jelas mencerminkan kerajaan tidak pernah mengabaikan golongan pekebun kecil getah terutamanya mereka di kawasan luar bandar supaya mereka turut menikmati kemajuan dan pembangunan seperti golongan lain,” ujar beliau.

Nanta berkata dalam usaha menangani isu kejatuhan harga getah, kerajaan melalui RISDA akan terus memberi tumpuan bagi meningkatkan produktiviti pekebun getah di seluruh negara yang dilihat mampu meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah.

“Kejatuhan harga getah ini memberi impak besar kepada pekebun kecil. Oleh itu, pihak RISDA sedaya upaya membantu mereka dengan mengurangkan kos tertentu serta membantu mereka secara berterusan,” katanya.

Beliau mahu pekebun kecil di negara ini lebih proaktif dalam memikirkan cara untuk mempelbagaikan sumber pendapatan keluarga dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu kini,” ujar Nanta.

Menurutnya, dengan keadaan harga komoditi getah yang menurun pada ketika ini, menjadikan golongan itu tidak lagi boleh bergantung dengan satu sumber pendapatan iaitu hasil menoreh semata-mata.

“Jangan bergantung kepada getah sahaja, mesti ada pendapatan daripada beberapa sumber, kalau satu sumber susah, terutama apabila harga getah jatuh.

Seramai 500 pekebun kecil Pemaju Masyarakat RISDA (PMR), Perkumpulan Wanita Pekebun Kecil (PWPK) serta ketua-ketua masyarakat dan ketua kaum hadir pada majlis tersebut.