Peruntukan RM111 juta dilulus laksana dua projek rakyat

SARIKEI : Kerajaan Negeri meluluskan sebanyak RM111 juta untuk melaksanakan dua projek yang bakal memberi manfaat kepada rakyat di bahagian ini dalam tempoh jangka panjang.
Ketua Menteri , Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, sebanyak RM11 juta akan digunakan untuk memperbesarkan kampung Taman Susur Jambu dan RM100 juta lagi pembinaan Wisma Sarikei.
“Sarikei semakin berkembang dan penduduknya juga meningkat dari masa ke semasa. Justeru, usaha ini selaras dengan perkembangan tersebut.
“Wisma Sarikei akan menjadi pusat pentadbiran utama yang baharu. Pusat yang dilengkapi dengan kemudahan moden itu pastinya akan memudahkan lagi takbir urus kerajaan,” katanya ketika menyempurnakan majlis perasmian Fiesta Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di sini, hari ini (semalam).
Beliau berkata, kerajaan juga akan menaiktaraf pusat pengumpulan pertanian di Sarikei selain membangunkan kemudahan yang sama di Tanjung Manis.
“Ini merupakan salah satu usaha kerajaan untuk memudahkan petani di luar bandar memasarkan hasil pertanian mereka. Kita yakin melalui inisiatif terbaharu kerajaan ini, hasil pertanian akan dipasarkan dengan lebih meluas termasuk di luar negara,” ujarnya.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Datuk Amar, Morshidi Abdul Ghani, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh dan Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat) Abdullah Saidol.
Fiesta NBOS Sarikei merupa satu program yang menyasarkan satu pendekatan pemimpin bersama rakyat, bertujuan memperkenalkan idea NBOS yang telah dilaksanakan oleh kerajaan kepada masyarakat setempat.
Abang Johari berkata, rakyat Sarawak beruntung kerana kerajaan sentiasa mengambilberat dan perihatin dengan keperluan mereka.
“Kita beruntung kerana negeri kita aman dan mempunyai kepimpinan yang terus menerus memberi perhatian kepada rakyat. Bermula dengan usaha membuka kawasan luar bandar oleh Tun Taib Mahmud , Tok Nan pula mengambil alih dengan mendapatkan hak Sarawak dalam Malaysia dan saya pula meneruskan legasi itu dengan pendekatan tersendiri,”jelasnya. Program turut dimeriahkan dengan kehadiran lebih 20,000 penduduk sekitar Sarikei.