ParIimen Igan dapat ‘durian runtuh’

IGAN: Penduduk Igan menerima ‘durian runtuh’ apabila Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM173 juta untuk projek pembangunan.

Khabar gembira itu diumumkan di hadapan lebih 1,000 penduduk yang datang dari seluruh kawasan Parlimen Igan termasuk Matu dan Daro.
“Saya bagi hadiah pembangunan bernilai ratusan juta ringgit untuk bangunkan kawasan Igan dalam masa tiga tahun,” katanya.

Menurutnya, beliau akan berkunjung ke kawasan parlimen ini dalam tempoh tiga tahun untuk menyaksikan perkembangan projek pembangunan yang sudah diluluskan.

“Saya akan datang ke sini lagi dalam tempoh tiga tahun… jika pegawai tidak melaksanakan tugas untuk rakyat, kita akan tukar pegawai, ganti pegawai lain,” katanya berucap pada program Tinjauan Mesra Ketua Menteri di Kampung Skrang, Igan.

Abang Johari berkata, daripada jumlah berkenaan projek membangunkan jalan raya sepanjang 13.5 kilometer dari Igan ke Sungai Ilas bernilai RM69 juta.

Kata Abang Johari, pembinaan jalan itu untuk mengecilkan jurang perhubungan antara rumah-rumah panjang kawasan berkenaan.

Abang Johari turut mengumumkan peruntukan RM3 juta untuk membina Dewan Masyarakat Igan, RM4 juta untuk pembinaan tapak Pesta Kaul Igan dan RM3 juta tapak yang sama di Kuala Matu.