PBB diyakini sapu bersih 14 kerusi

IGAN: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg melahirkan keyakinan bahawa Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) boleh menyapu bersih kesemua 14 kerusi parti itu yang ditandingi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

“Insya Allah … boleh,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Tinjauan Mesra Ketua Menteri ke Igan, hari ini.

Parti PBB bertanding di parlimen Santubong, Petra Jaya, Batang Sadong, Batang Lupar, Kota Samarahan, Mukah, Igan, Tanjong Manis, Betong, Sibuti, Puncak Borneo, Kapit, Limbang dan Lawas.

Pada PRU14 ini, Parti PBB mengemukakan enam muka baharu iaitu masing-masing di kawasan Datuk Hanifah Hajar Taib (Mukah), Ahmad Johnie Zawawi (Igan), Yusuf Wahab (Tanjong Manis), Robert Lawson Chuat (Betong), Lukanisman Awang Sauni, Genot Sinei (Puncak Borneo).

Sementara itu, Abang Johari berkata, beliau masih meletakkan sasaran 28 daripada 31 kerusi BN akan dimenangi.

“Jika dapat memenangi 29 kerusi, itu adalah bonus,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta pengundi agar keluar awal mengundi pada 9 Mei nanti.
“Keluar beramai-ramai agar kita mendapat majoriti paling banyak pada PRU ini,” katanya.