Pasar tamu Saberkas Semop dibuka

BINTANGOR: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) N.42 Semop membuka pasar tamu berhampiran tapak RGC di Kampung Semop sebagai insiatif untuk memudahkan penduduk memasarkan hasil laut dan pertanian mereka.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat) Abdullah Saidol berkata, pasar tamu yang dibuka setiap hari kepada orang ramai itu, akan menjadi ruang niaga kepada golongan petani dan nelayan.

Pasar berkenaan katanya, akan memberi ruang kepada peniaga kecil tempatan untuk menambah pendapatan sekali gus meningkat sosio ekonomi keluarga.

“Lokasi kawasan ini amat strategik dan mudah dikunjungi orang ramai yang datang dari Mukah, Daro, Sibu, Tanjung Manis, Sarikei dan Serdeng.

“Setakat ini, kita menyediakan sebanyak 22 gerai kepada peniaga yang ingin memasarkan produk masing-masing. Sehubungan itu, kita melihat perkembangannya dari masa ke semasa. Jika sambutannya baik, kita akan kita akan berusaha menambahbaik kemudahan pasar ini. Ruang niaganya juga akan ditambah namu bergantung kepada sambutan daripada orang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Santai Saberkas Meradong di Kampung Muhibbah Bintangor.

Hadir sama, Calon Barisan Nasional (BN) P206 Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab, bekas Ahli Parlimen Igan Datuk Wahab Dollah, Pegawai Daerah Meradong, Haron Mahidi dan Ketua Pemuda PBB N.46 Meradong, Halmi Morsili.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.42 Semop mahu pasar tamu itu dimanfaatkan sebaik-baiknya kerana mampu melonjakkan potensi kawasan tersebut sebagai pengeluar hasil pertanian dan perikanan.