Sarawak berusaha tingkatkan kemudahan luar bandar

KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, sungguhpun Sarawak sebagai negeri pimpinan pembangkang, namum ia tidak akan menyekat usaha kerajaan negeri untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan berdasarkan perlembagaan untuk kepentingan rakyat Sarawak dan Malaysia.
Beliau berkata, dengan sumber yang terhad, Sarawak akan berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan kemudahan prasarana dan asas dikawasan luar bandar negeri ini dengan menggunakan wang yang dimiliki oleh kerajaan negeri.
Hakikatnya Sarawak tidak ada menerima wang seperti yang sepatutnya mengikut peruntukan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, katanya dalam perutusan Hari Gawai Dayak yang disambut oleh masyarakat Dayak di negeri ini pada 1 Jun ini.
Menurut Ketua Menteri, perbezaan agama dan keturunan tidak harus dijadikan batu penghalang bagi seluruh rakyat di negara ini untuk hidup dalam suasana harmoni dan aman. “Perbezaan amalan politik juga tidak harus dijadikan benteng bagi kita membina hidup bersama lebih makmur”.
Sarawak yang menjadi pihak ketiga dalam menandatangani perjanjian untuk membentuk Malaysia, katanya, masih memerlukan peruntukan kewangan lebih banyak daripada kerajaan persekutuan untuk menggerakkan kemajuan di negeri ini.
Tahun ini, kata Ketua Menteri, kerajaan negeri membelanjakan sebanyak RM2 bilion lagi untuk membangunkan projek bekalan air terutama di luar bandar.
Ketua Menteri berkata, tahun ini juga kerajaan negeri dijangka membelanjakan sebanyak RM94 juta untuk menyambungkan bekalan elektrik kepada lebih 2,000 isi rumah.
“Kita akan terus membangunkan lebih banyak jalan raya dan sejumlah RM2.4 bilion daripada peruntukan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan telah diluluskan untuk tujuan itu di bawah Rancangan Malaysia Ke-11,” katanya dan mengumumkan kerajaan negeri telah memluluskan sebidang tanah di Jalan Ong Tiang Swee, Kuching, untuk Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI) membina bangunan ibu pejabatnya.
Tahun ini juga pada 22 Jun 2018, Kuching akan menjadi tuan rumah perarakan sambutan Gawai Dayak sejauh 1.5 kilometer yang turut disertai oleh negara jiran dan Ketua Menteri percaya perarakan itu menjadi satu lagi festival penting di negeri ini.