Buah embang mercu tanda pekan Debak

DEBAK: Masyarakat di Daerah Kecil Debak memilih ‘buah embang’ sebagai mercu tanda atau ikon Pekan Debak yang disifatkan sebagai salah satu usaha memperkenalkan kawasan ini kepada masyarakat luar selain inisiatif mula mengangkat buah Borneo itu ke pasaran global kerana potensi besarnya dalam bentuk produk makanan atau kesihatan.

Buah embang atau dikenali asam embang, mawang atau bambangan dikategorikan sebagai salah satu buah borneo kerana dipercayai ia hanya terdapat di tanah Borneo.

Rasanya yang masam dan manis ketika masak merupakan buah yang cukup popular dalam kalangan masyarakat di sini sama ada dimakan begitu sahaja ataupun dibuat jeruk selain menu penambah selera dimakan bersama sambal belacan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Mohammad Razi Sitam memberitahu, cadangan memberikan satu ikon kepada Pekan Debak bertitik tolak daripada idea bersama.

Katanya, daripada sejarah buah embang dahulunya banyak terdapat di kawasan ini.

“Ini idea bersama masyarakat setempat yang mahukan Pekan Debak memiliki mercu tanda sendiri sama juga seperti kawasan-kawasan lain.

“Jadi, buah embang ini dipilih kerana asalnya dahulu kawasan ini mempunyai banyak pokok buah embang. Namun kini, banyak daripadanya tidak dipelihara dengan baik dan kita takut buah ini akan susut. Insha-Allah dengan menjadikannya ikon, embang sebagai buah bermusim akan kita angkat kembali.

“Selain itu, pemilihan buah embang juga kerana dikatakan memiliki nilai perubatan dalam penyakit tertentu misalnya kanser,” katanya.

Jelasnya lagi, dengan kelebihan yang ada ia amat sesuai untuk dimakan dan kajian seharusnya memberi perhatian agar ia dapat dikomersilkan sama ada sebagai sumber makanan atau produk kesihatan atau makanan dunia.

“Kita ambil contoh di Timur Tengah, rakyatnya boleh mengkomersilkan habatus sauda sebagai produk perubatan… jadi apa kurangnya kita di Bumi Kenyalang yang kaya dengan sumber-sumber makanan dan tumbuhan yang memberikan hasil yang mendatangkan manfaat,” ujarnya.

Tambah Razi, pihaknya kini mempunyai pelan jangka panjang untuk merealisasikan usaha itu dan akan dimajukan kepada kementerian bertanggungjawab agar satu penyelidikan khusus tentang buah embang boleh dilakukan seterusnya membolehkan ia ditanam secara besar-besaran.

Menurutnya, kalau daripada aspek pasaran permintaannya boleh dikatakan tinggi terutamanya di Semenanjung Malaysia.

“Sama seperti durian, sekiranya kerajaan serius melihat usaha ini, saya percaya produk hasil daripada buah embang juga boleh dieksport ke pasaran luar, lebih-lebih lagi dengan hasrat pucuk pimpinan untuk Sarawak menjadi ‘basket food’ khususnya di Bahagian Betong.

“Ini bermakna usaha mengangkat buah embang sebagai buah bernilai tinggi mempunyai peluang yang besar,” tambahnya.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Daerah Betong (MDB) Charlie Keling yang mengetuai jawatankuasa pembuatan replika buah embang di Pekan Debak memberitahu ia menjadi satu keunikan.

“Kalau di Betong kita ada ikon getah, Sarikei sinonim dengan buah nanas… jadi, di Pekan Debak ini penggunaan buah embang sebagai simbol amat sesuai dari segi sejarahnya yang dahulu dan kelebihan yang lain,” ujarnya.

Menurutnya, idea pembuatan telah lama namun pelaksanaan mengambil masa sebulan dua yang lepas sebab untuk menjadikan ia betul-betul menarik bukan kerja yang mudah.

“Kita terpaksa bekerja rapat dengan pereka termasuk tenaga mahir dan syukur ia siap dan dapat dilancarkan dengan rasminya oleh Razi,” katanya.

Ikon buah embang tersebut dibuat dengan kos kurang RM50,000 menggunakan bahan yang berkualiti serta tahan lama.