Tidak tidur tiga hari demi tempahan Lemang Warisan

KUCHING: Demi meraih rezeki pada bulan Ramadan, bapa kepada tiga anak yang masih kecil, hanya tidur tiga jam sehari untuk mengusahakan perniagaan lemang, ikan bakar dan suntong tutok (suntong giling).
Reduan Mohd,32, atau lebih dikenali panggilan Dwen mengusahakan Lemang Warisan sejak 18 tahun lalu, yang diwarisi daripada arwah bapanya, Mohd Wahi atau Mat Lemang.
Menurut Dwen, Lemang Warisan yang sememangnya terkenal di kampung nombor itu dijual dalam pelbagai saiz dan harga antara RM10, RM12 dan RM14.
“Jika sebelum ini, saya menjual hanya 50 batang lemang, tetapi dalam bulan Ramadan dan menjelang Aidilfitri jumlah itu meningkat sehingga 4,000 batang sehari,” katanya semasa ditemui di kediamannya, Kampung Nombor 5, di sini.
Beliau yang gigih menyiapkan tempahan Raya dan bulan puasa ini turut dibantu 11 pembantu yang kesemuanya saudara-mara dan anak muda kampung, memulakan proses membakar lemang pada jam 7 pagi.
Katanya, proses penyediaaan lemang yang agak rumit perlu dimulakan dengan lebih awal seperti membasuh buluh lemang, memasukkan pulut ke dalam buluh lemang dan pati santan sebelum proses membakar lemang bermula.
“Jika hari-hari biasa, saya menggunakan lebih 30 kilogram pulut dan lebih 12 kilo pati santan, namun jumlah ini meningkat dua kali ganda pada musim perayaan terutama Hari Raya,” katanya.
Disebabkan tempahan terlalu banyak, tidak hairan Dwen tidak tidur lebih 60 jam menjelang Raya menyiapkan tempahan ramai.